JOM TERJAH:

Sertai online survey dan anda dibayar setiap survey
klik link dibawah untuk menyertai
ipanelonline survey

Daftar SAYS Malaysia di sini

InstaForex

Cari Blog Ini

Selasa, 14 Januari 2014

Maulidur Rasul disambut penuh kecintaan

Maulidur Rasul tahun ini disambut di seluruh negara dengan penuh keinsafan dan kecintaan bagi memperingati jasa dan perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Sambutan peringkat kebangsaan berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya dimulai dengan perarakan sejauh 1.7km, disertai 13,598 peserta daripada 151 kontinjen bermula di bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Persiaran Perdana menuju Masjid Putra.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke sambutan Maulidur Rasul 1435H/2014M bertema 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu.

Penceramah terkenal, Ustaz Mohd Kazim Elias turut diundang menyampaikan ceramah mengenai personaliti dan sifat Rasulullah S.A.W yang perlu dicontohi seluruh umat Islam.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Turut hadir beberapa menteri termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan perwakilan negara luar.

Di JOHOR, kira-kira 5,000 umat Islam menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Jamek, Kota Tinggi.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bonda baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris dan adinda baginda Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke majlis sambutan itu.

Terdahulu, sambutan bermula kira-kira 7.30 pagi dengan perarakan melibatkan 70 kontinjen mewakili agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta dan sekolah diketuai Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Majlis diserikan dengan bacaan al-Quran oleh johan Majlis Tilawah Al-Quran dan berzanji peringkat daerah Kota Tinggi 2013 Ustaz Zunaidi Tarpani serta ceramah oleh Kadi Daerah Kota Tinggi Mohd Fauzi Bachok.

Di MELAKA, lebih 10,000 umat Islam mengambil bahagian dalam perarakan sempena Maulidur Rasul peringkat negeri bermula di Stadium Hang Tuah ke Masjid Al-Azim.

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron turut berarak sejauh lebih empat kilometer sambil berselawat memuji junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Perarakan itu disertai kira-kira 200 kontinjen termasuk lebih 20 beca daripada kontinjen Persatuan Beca Negeri Melaka dan 10 orang kurang upaya berkerusi roda daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Di IPOH, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis sambutan peringkat Perak di Pusat Konvensyen Amanjaya di Meru.

Turut berangkat Raja DiHilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah. Ia turut disertai Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli.

Di MUKAH, hujan sejak awal pagi tidak mematahkan semangat Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan lebih 6,000 peserta daripada 175 kontinjen untuk meraikan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Sarawak.

Taib bersama-sama beberapa anggota kabinet negeri menyertai perarakan sejauh 3.5km melalui jalan-jalan utama di bandar Mukah.

Sebanyak 13 kontinjen terdiri daripada penduduk tempatan dan organisasi bukan Islam turut mengambil bahagian.

Di ALOR SETAR, sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Kedah berlangsung malam tadi di Masjid An-Nur Pokok Sena dengan kehadiran kira-kira 1,000 peserta dan disempurnakan Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir itu, Tunku Sallehuddin bertitah umat Islam harus sentiasa menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai idola dan panduan hidup.

Rasulullah bukan sahaja ikon kepada agama Islam malah melengkapi segala sudut seperti ketua kerajaan, soal ibadat dan akhlaknya yang terpuji, titah baginda.

Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengetuai 310 kontinjen berarak sejauh 2.5km sempena Maulidur Rasul peringkat negeri Terengganu, bermula dari Dataran Shah Bandar sehingga ke Stadium negeri. Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat dan merasmikan sambutan itu yang disertai 11,000 orang.

Di KUANTAN, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menyeru umat Islam berganding bahu menolak usaha pihak tertentu yang berniat merosakkan Islam menerusi fahaman liberalisme atau ajaran sesat.

Baginda bertitah, fahaman liberalisme kini semakin menghakis akidah umat Islam sehingga menyebabkan masyarakat kini mengambil mudah hukum-hukum dan syariat Islam sehingga terbawa-bawa ideologi pemikiran terbuka yang dipelopori masyarakat Barat sehingga mencalar kesucian agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.

"Tanpa kerjasama semua pihak usaha membanteras kumpulan ini tidak akan berjaya kerana hanya dengan pengetahuan ilmu (agama) yang mantap dan kukuh dapat menyelamatkan individu daripada terjebak dengan fahaman itu," titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri.

Titah ucapan baginda dibaca oleh Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob. Majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 orang itu bermula pada 8.30 pagi dengan perarakan dari kediaman rasmi Menteri Besar ke Dewan Jubli Perak. - Bernama

Jumaat, 10 Januari 2014

Muhdalena diperintah bela diri

Muhdalena Ahmad, yang didakwa mengamuk bersama-sama seorang lelaki bersenjatakan pedang samurai di luar kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Julai 2012, hari ini diperintah membela diri terhadap empat pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Mohamed Kamil Nizam memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Muhdalena, 29, atas empat pertuduhan.

Empat pertuduhan itu ialah melakukan ugutan jenayah terhadap polis bantuan Koperal Ridzuan Megat Ahmad di Kompleks 'B' JPM pada 9 Julai 2012, memiliki sebilah parang, mengingkari perintah Ridzuan supaya meletakkan senjata dan gagal mematuhi nasihat seorang menteri supaya mendapatkan pas atau permit sebelum memasuki premis berkenaan yang merupakan kawasan larangan.

Mohamed Kamil menetapkan 13 Februari untuk wanita itu membela diri.

Hakim juga menetapkan dua lagi tarikh -- 24 Februari dan 25 Februari -- untuk mendengar keterangan dua pakar psikiatri iaitu Umi Adzlin Silim dari Hospital Putrajaya serta Pengarah dan Perunding Psikiatri Forensik Hospital Bahagia, Ulu Kinta Dr Rabaiah Mohd Salleh.

Peguam yang mewakili Muhdalena, M.Visvanathan memaklumkan mahkamah anak guamnya itu akan memberikan keterangan secara bersumpah dan beliau juga akan memanggil dua psikiatri itu sebagai saksi pembelaan.

Semasa menyampaikan keputusannya, Mohamed Kamil berkata keterangan Ridzuan membantunya dalam membuat keputusan bahawa Muhdalena telah mengugut untuk mendatangkan bahaya kepada pegawai polis bantuan itu, berdasarkan keterangannya bahawa tertuduh dan rakan lelakinya telah membuat ugutan dan menyerang walaupun diarah meletakkan senjata.

Ridzuan dalam keterangannya berkata rakan Muhdalena, Khalil Afendi Abd Hamid menjerit "Polis jangan masuk campur, kalau tak, mati", dan selepas itu kedua-dua mereka meluru ke arahnya, memaksanya melepaskan tembakan.

"Walaupun Ridzuan seorang anggota polis bersenjata tetapi dengan mengambil kira tertuduh tidak berhenti walaupun diberi amaran tiga kali dan sebaliknya terus meluru ke arahnya, saya faham keadaan itu boleh menyebabkan Ridzuan bimbang akan nyawanya," katanya.

Mohamed Kamil berkata tiga pegawai polis di tempat kejadian dan rakaman CCTV membuktikan Muhdalena bersenjatakan parang di tempat kejadian.

Beliau juga memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen bagi pertuduhan ketiga dan keempat terhadap Muhdalena.

"Seorang saksi pihak pendakwaan Mohd Sukri Baharudin, anggota polis bantuan yang bertugas di pintu utama kompleks itu dalam keterangannya menyatakan Muhdalena masuk ke kawasan itu tanpa mendapatkan kad atau permit," kata Mohamed Kamil.

Muhdalena didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Kompleks B, JPM pada kira-kira 2.30 petang, 9 Julai, 2012.

Muhdalena dan Khalil Afendi, 47, dilaporkan mengamuk di luar kompleks JPM dengan bersenjatakan pedang samurai sebelum mereka ditembak dan Khalil meninggal dunia kemudiannya akibat kecederaan.

Bagi pertuduhan melakukan jenayah ugut mengikut Seksyen 506, Kanun Keseksaan, dia berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan memiliki senjata mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Muhdalena juga berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya mengikut Akta Tempat Larangan dan Kawasan Larangan 1959. - Bernama