JOM TERJAH:

Sertai online survey dan anda dibayar setiap survey
klik link dibawah untuk menyertai
ipanelonline survey

Daftar SAYS Malaysia di sini

InstaForex

Cari Blog Ini

Isnin, 9 Januari 2012

Perhimpunan dicemari insiden letupan

ASAP berkepul di udara susulan letupan yang mengejutkan orang ramai di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, selepas keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan hari ini.     

Tiga letupan berlaku berhampiran kompleks mahkamah di Jalan Duta di sini selepas Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, daripada tuduhan berhubung kes liwat hari ini, mengakibatkan lima orang cedera.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata kejadian letupan pertama berlaku pada 10.20 pagi manakala kejadian letupan kedua menyusul 10.45 pagi dan diselangi dengan letupan ketiga pada 10.55 pagi.
"Letupan pertama berlaku di Jalan Khidmat Usaha kira-kira 300 meter dari pintu A mahkamah manakala letupan kedua berlaku di Jalan Dutamas, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian pertama dan letupan ketiga berlaku 150 meter dari pintu B mahkamah.
"Letupan pertama mengakibatkan dua lelaki cedera ringan di bahagian muka termasuk seorang peguam, letupan kedua mencederakan tiga orang, tiada kecederaan pada letupan ketiga. Semua yang cedera sudah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga letupan itu merosakkan sebuah lori, lima kereta dan dua motosikal yang diletakkan berhampiran dengan tempat kejadian letupan berlaku.

Katanya, disebabkan insiden itu, polis mengarahkan 4,500 penyokong Anwar bersurai daripada kawasan perhimpunan berkenaan pada 11.05 pagi kerana keadaan didapati tidak selamat.

Mohmad berkata, polis sudah mengenalpasti punca letupan selepas menemui bateri dan wayar serta sejenis bahan letupan jenis 'ballbearing' yang disembunyikan di bawah kon polis dalam kejadian pertama dan ketiga.
"Letupan kedua pula berlaku di kawasan kafeteria mahkamah dan bahan letupan diletakkan berdekatan dengan kawasan letak motosikal dan van yang menjual makanan. Saya percaya bahan letupan itu adalah buatan sendiri dan motif serta cara diletupkan masih dalam siasatan," katanya.

Mohmad berkata, polis masih menyiasat kejadian itu dan sehingga kini tiada tangkapan dibuat berhubung kejadian letupan atau perhimpunan berkenaan.

Beliau berkata, polis masih memantau kawasan yang terbabit sehingga kini dan meminta orang ramai untuk tidak panik dengan kejadian itu.

Mohmad berkata, perhimpunan anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini berjaya dikawal pasukan keselamatan itu dan situasi keselamatan sepanjang perhimpunan itu adalah terkawal.

Sementara itu, seorang saksi Adnan Hassan, 31, berkata kejadian berlaku terlalu pantas ketika beliau sedang membeli makanan dan minuman 15 meter dari kawasan letupan kedua.

"Saya terkejut dengan kejadian itu, saya ingat ada letupan besar yang berlaku tapi Alhamdulillah serpihan letupan itu tidak mengenai banyak orang awam yang berada berdekatan dengan kawasan kejadian," katanya kepada pemberita ketika ditemubual selepas kejadian letupan kedua.

Azrul Abdullah, 25, berkata beliau turut terkejut dengan letupan yang berlaku sambil menyifatkan ia tindakan yang tidak bertanggungjawab dan boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

Beliau yang juga seorang peniaga makanan ringan berada 30 meter dari tempat kejadian bagaimanapun tidak mengalami kecederaan mahupun kerosakkan harta-benda.

Abdullah Zawawi, 32, pula berkata letupan kedua berlaku dengan pantas ketika beliau sedang mengambil gambar penyokong PKR.

"Saya sempat ambil gambar selepas letupan yang berlaku dalam sebuah tong sampah. Masih sempat nampak percikan api dan asap," katanya.

Peniaga gerai makan, Mohd Tajudin Adam, 53, berkata letupan kedua itu adalah paling kuat dan kejadian berlaku berdekatan gerai beliau menjual makanan.

"Ketika itu saya sedang melayan pelanggan dan apabila letupan berlaku saya terus lari tinggalkan van serta gerai saya. Telinga saya masih berdenggung lagi ni rasa macam nak pekak akibat bunyi letupan itu," katanya.

Jumaat lalu polis membenarkan kumpulan penyokong Anwar untuk berhimpun di tempat letak kereta dekat Kompleks mahkamah, Jalan Duta dengan mengenakan 10 syarat bagi menjaga kententeraman awam.

Segelintir daripada penyokong Anwar hari ini dilihat melakukan provokasi terhadap sekumpulan anggota badan bukan kerajaan (NGO) yang membantah perhimpunan itu, dengan membuat bising menjerit slogan parti mereka dan membawa sepanduk serta kain rentang.

Turut diedarkan kepada penyokong yang berkumpul itu ialah topeng muka Anwar dan penjualan t-shirt RM20 sehelai, yang tertulis "Bebas Anwar".

Sehingga semalam, polis menerima 1,190 laporan yang dibuat oleh pelbagai pihak membantah perhimpunan itu.

Tiada ulasan: