Assalamualaikum Dato’ seri.. Tujuan saya  (Siti Hajar) menulis surat ini adalah sebagai seorang anak Malaysia  yang ingin negaranya membangun dan mengurangkan kemiskinan di negara  sendiri . Beberapa isu ingin saya ketengahkan kepada Dato’ Seri dan saya  berharap apa yang saya perkatakan ini memberi idea dan impak kepada  semua rakyat Malaysia.
Saya menulis surat ini adalah…sifat  keberanian dalam diri saya dimana saya ingin menjadikan Malaysia ini  sebuah Negara Membangun Pesat bukan Negara Yang Sedang Membangun.
Sejak akhir-akhirini isu minyak  diperkatakan. Ada yang mengatakan negara-negara jiran kita lebih mahal  minyak jika dibandingkan di Malaysia. Ya. Saya setuju tentang kenyataan  itu tetapi idea untuk menaikkan harga minyak adalah sesuatu yang memang  terang lagi bersuluh bukan idea yang bijak. Jika hari ini kerajaan telah  menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen, ia bukan sekadar memberi impak  kepada golongan muda sahaja tetapi juga golongan miskin dan juga seluruh  rakyat Malaysia. Hari pertama harga minyak naik, food court ditempat  kerja saya menaikkan harta roti sebanyak 30 sen. Lihat! Impak terhadap  kenaikan minyak. Tetapi jika satu hari nanti harga minyak turun walaupun  sebanyak 50 sen sekalipun, harga roti yang naik 30 sen ketika harga  minyak naik akan kekal sama dan tiada pengurangan. Mungkin ianya kecil  pada mata orang-orang yang kaya nilai 20 sen itu tetapi ia cukup  berharga kepada kami yang baru sahaja memulakan kehidupan.
Perjalanan hidup saya masih jauh. Umur  baru 27 tahun. Belum berkahwin. Tetapi saya dah rasakan bebanan yang  saya akan hadapi untuk 10 tahun akan datang. Bagaimana pula  sahabat-sahabat saya yang sebaya dengan saya, yang telah berumahtangga?  Pasti mereka lebih terbeban akibat krisis kenaikan harga minyak. Boleh  dikatakan golongan muda belia ini sangat diperlukan bagi menjamin  kesejahteraan Negara pada masa akan datang, tetapi saya tidak nampak  bagaimana kami mampu memajukan Negara sedangkan saya sendiri rasa ianya  satu penindasan ke atas kami. Apa yang dikatakan penindasan?
Mengenai BR1M. Pada mereka yang  diberikan BR1M, pasti mereka akan gembira. Kenaikan BR1M telah memberi  impak positif yang besar kepada kerajaan kerana kerajaan telah  melaksanakan sebahagian tanggungjawab untuk membantu rakyat, tetapi pada  masa yang sama kenaikan harga memberi impak negatif yang lebih besar  kepada seluruh rakyat Malaysia baik yang menerima BR1M atau tidak.  Mengapa tidak bajet BR1M itu digunakan bagi memberi subsidi minyak?
Kerajaan mengatakan bahawa pemberian  BR1M kepada rakyat bagi mengurangkan bebanan terhadap mereka yang  berpendapatan rendah. Tetapi saya tidak nampak semua itu. Seperti saya  katakan tadi, apabila harga minyak melambung, maka harga barang juga  turut melambung. Jadi pemberian itu tidak memberi makna apa-apa terhadap  rakyat. Ia umpama buruk siku. Lepas bagi, ambil balik.
Surat Siti Hajar Aladin : BR1M @ Subsidi Minyak?
Dato Seri Najib Razak,
Kadang-kadang  saya terfikir, apakah keistimewaan saya sebagai rakyat Malaysia? Adakah  hanya sekadar penyumbang ekonomi negara tanpa mendapat sebarang  kebaikan daripada negara sendiri? Gaji saya di dalam golongan middle  income (RM3,000 – RM5,000). Saya tidak layak menerima BR1M malah saya  juga di dalam kategori pembayar tax kepada kerajaan. Golongan middle  income pada hari ini masih sukar untuk membeli rumah kerana kos sara  hidup yang tinggi. Apakah keistimewaan kami yang mana suatu hari nanti  bakal menerajui negara sendiri?Seterusnya pula, Boleh dikatakan golongan lepasan Ijazah yang belum berkahwin, gaji permulaan bermula RM2200. Maka mereka tidak layak untuk menerima BR1M. Syarat untuk menerima BR1M bagi individu adalah bawah RM2000. Manakala bagi mereka yang telah berkahwin dibawah RM3000. Walaupun gaji mereka Bawah RM3000 dan layak untuk menerima BR1M, ia masih tidak mencukupi kerana mereka ada tanggungan yang perlu ditanggung bukan setakat anak isteri tetapi juga pinjaman pembiayaan pelajaran. Untuk memulakan hidup, saya pasti Dato’ Seri pun tahu bagaimana gigihnya seseorang untuk menanggung keluarga.
Beban atas kenaikan minyak amat dirasai pada golongan kami.
- Gaji kasar : RM2300 (fresh graduate)
 - Gaji bersih : RM2032 (masih tidak layak menerima BR1M)
 - Kereta : RM 400 (Kawasan yang sukar mendapatkan public transport seperti di kawasan Damansara, maka kami memerlukan kereta)
 - Tol: RM1.60 x 2 kali sehari : RM 3.20 x 23 hari = RM73.60 (melalui LDP, masih tidak menerima 20% rebate touch n go)
 - Parking : 23 hari x RM5 = RM115
 - Minyak : RM 12 x 23 hari = RM230 (dari Taman Melati ke Damansara dan untuk ke kerja sahaja)
 - Sewa : RM 200 (paling murah di Kuala Lumpur untuk satu bilik)
 - PTPTN : RM150 (minimum)
 - Makan untuk sebulan = RM 450 (sehari RM15)
 - Ibu Ayah = RM200
 - Baki : RM2032 – RM400 – RM73.60 – RM115 – RM230 – RM200 – RM150 – RM450 – RM200
 - TOTAL BAKI : RM213.40
 
Surat Siti Hajar Aladin : Lonjakan Harga Rumah di Malaysia
Ini apa yang pernah saya lalui. Tak dinafikan ada juga beberapa bulan saya tidak dapat membayar PTPTN apabila dalam keadaan yang terdesak seperti memperbaharui roadtax dan insurans kereta dan apabila hari Raya menjelma. Dua keadaan yang perlu dilalui yang memerlukan duit tambahan.Apabila kita melihat baki bulanan yang sebanyak RM213.40, maka pembelian rumah untuk kami memang jauh sekali. Cuba Dato’ Seri lihat harga rumah pada hari ini. Di Taman Melati, Setapak harga rumah bagi 660 sqf adalah RM150,000 dan interest rate sebanyak 4% untuk 30 tahun,maka setiap bulan perlu membayar RM717. Bagaimana golongan belia pada hari ini mahu memangkin ekonomi masa hadapan? Sedangkan perlaburan terbaik datangnya daripada Pelaburan Hartanah.
Saya telah kira RM213 hanya mampu membeli rumah berharga RM40,000 dengan interest rate sebanyak 4% untuk 30 tahun. Bagaimana kami mampu membantu menjana ekonomi Negara sedangkan gaji kami hanya mampu membayar rumah RM40,000 sahaja? Dan dimanakah rumah yang berharga RM40,000 ini? Di kawasan pedalaman yang memang tidak boleh untuk membuat pelaburan. Kita perlu melihat ke hadapan. 10 tahun akan datang, kami golongan belia bakal menerajui Malaysia. Tetapi ianya tak akan berjaya jika pihak atasan tidak memandang idea dan mendengar suara kami.
Surat Siti Hajar Aladin : Gaji Rakyat Malaysia?
Seterusnya lagi, berkaitan tentang gaji lepasan Ijazah dan diploma. Boleh dikatakan kebanyakan syarikat swasta tidak mahu membayar gaji mengikut qualification yang kami ada. Mereka menganggap kami lepasan ijazah sama seperti lepasan SPM. Gaji yang ditawarkan tidak sepadan dengan gaji yang sepatutnya. Alhamdulillah, saya bekerja di sektor GLC dan gaji yang saya perolehi dianggap memuaskan. Tetapi bagaimana rakan-rakan saya dan belia lain pula? Nasib mereka tidak seperti saya. Saya mencadangkan Dato’ Seri melihat bagaimana pekerja di US. Mungkin US telah maju sekarang ni. Kita buat perbandingan di negara Australia menerima gaji bulanan bagi lepasan ijazah. Sangat berbeza jika dibandingkan di negara kita.Seterusnya, mengenai status penjawat awam mahupun swasta. Ini masalah yang besar kami hadapi. Kebanyakan syarikat-syarikat baik GLC mahupun Semi- Government mahupun swasta, mereka akan menetapkan setahun kontrak dan selepas itu diserap menjadi penjawat tetap dan ada juga sesetengah syarikat langsung tidak menjadikan penjawat tetap malah akan kekal sebagai penjawat kontrak. Apa masalah yang ingin saya ketengahkan ini adalah berkaitan dengan pinjaman perumahan yang amat sukar. Walaupun sebelum ini telah lama bekerja tetap dan selepas itu mendapat tawaran lebih baik tetapi ianya kontrak, apabila membuat pinjaman perumahan, ia akan ditolak atas alasan pekerja kontrak. Maka harga rumah semakin hari semakin meningkat. Jika ingin menunggu setahun kemudian setelah disahkan penjawat tetap, harga rumah itu juga telah melambung tinggi dan kami tidak dapat membelinya. Ini masalah yang saya hadapi sekarang ini.
Saya sebagai seorang rakyat Malaysia dan juga sebagai seorang yang berpegang kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional, saya merayu agar Dato’ Seri Najib Razak dapat memikirkan masalah yang kami hadapi sekarang ini. Sebagai pemimpin disegani di seluruh dunia, saya pasti Dato’ Seri mampu mengubah dan memperbetulkan apa yang dirasakan membebankan kami.
Terima kasih
Ikhlas,
Siti Hajar binti Aladin


Tiada ulasan:
Catat Ulasan