Schawal |
''Saya berkahwin pada usia 30 tahun setelah tujuh kali kecewa cinta. Saya tidak pernah serik dan sentiasa berdoa agar Allah temukan jodoh dengan lelaki yang benar-benar ikhlas menerima saya seadanya, terima segala kelemahan atau kelebihan saya dan dapat membimbing saya mencari keredaan Allah SWT.
''Sememangnya jodoh, ajal, maut di tangan Allah tetapi dengan menidakkan atau mengatakan lebih bahagia jadi andartu daripada berumahtangga, itu saya tak setuju. Kita harus berusaha dengan cara yang dibenarkan di samping jangan putus asa menadah tangan kepada Allah.
''Saya dan suami sahabat biasa di universiti. Memang sukar diteka perasaannya pada saya sebab dia tidak menunjukkan yang dia menaruh hati pada saya, tapi setelah lama berkawan, dia berani bawa saya ke majlis kahwin kawan kami. Saya beranikan diri walaupun malu bertanya apa perasaannya terhadap saya.
''Suami jawab ringkas - saya sukakan awak" dan saya membalas "Kalau benar-benar ikhlas, jumpalah mak ayah saya". Alhamdulillah selepas itu segalanya berjalan baik sehingga hari ini biarpun kadang kala ada saat gembira dan kecewa namun kami segera atasi dengan rasa tanggungjawab, hormat dan kasih sayang. Kami tidak biarkan isu kecil jadi besar. Bagi kami, setiap masalah ada penyelesaian jika dibincang mengikut landasan agama.
''Antara perasaan indah bagi wanita yang berkahwin apabila mengandung dan melahirkan anak. Masa tu pasti kita sedar dan menghargai susah payah ibu melahirkan kita dahulu dan berazam mendidik anak-anak kita untuk berjaya dunia dan akhirat.
''Kepada Norazlinda dan gadis-gadis seangkatan dengannya yang merasa selesa jadi andartu, saya sarankan keluarlah daripada pemikiran tersebut. Ingatlah hidup kita bukan saja mencari kebahagiaan di dunia bahkan akhirat.
''Jangan lari daripada fitrah berkasih sayang sesama manusia berlainan jantina. Muhasabah diri dan sentiasa mohon kepada Allah untuk menjadikan kita hamba-Nya yang bertakwa dan dipertemukan jodoh yang baik.'' Itu pesan Mawar.
Namun begitu nasihat dan pandangan Norsuhaili tidak kurang menarik diperhatikan. Katanya dulu dia juga langsung tak berhajat kahwin tetapi akhirnya tewas dek desakan ibu yang mahu dia segera mendirikan rumahtangga sebelum menutup mata.
Desakan''Memang awalnya saya sakit hati juga dengan desakan emak. Sebab zaman sekarang bukan senang nak cari suami yang baik kerana lelaki juga mencari isteri yang bukan sahaja baik, tapi menurut kata, mempunyai potongan badan menarik dan rupa paras cantik.
''Pendek kata, kita cuma mahu satu kebaikan daripada bakal suami tetapi lelaki ada lima syarat sebelum mengambil wanita jadi isteri. Ada yang mahukan isterinya kekal cantik walaupun sudah beranak empat.
''Namun atas desakan emak, akhirnya saudara-mara mencarikan jodoh, saya terima sahaja, sebab dah bosan dengan perangai lelaki yang terlalu memilih calon isteri dan saya sendiri kurang yakin dengan pilihan sendiri.
''Nasihat nenek saudara membuka hati ini untuk menerima jodoh yang dicarinya untuk saya. Katanya, jodoh pertemuan bukan kita tentukan. Dalam perkahwinan pun ada cerai rujuk. Sebenarnya bukan saya tak tahu bab cerai rujuk tetapi saya ingat tak mahulah bercerai lepas kahwin.
"Selepas berkahwin, barulah saya faham perangai suami. Katanya dia tak boleh adakan kemewahan untuk saya sebab gajinya tak seberapa. Lebih penting, dia tak suka pergerakannya dikawal kerana mahukan kebebasan. Kami pun berkahwin tanpa bercinta, saya terpaksa ikut kehendaknya walaupun tak suka.
''Saya cuba memahami dirinya tetapi dia lebih senang duduk di luar rumah. Dia ada ramai kawan dan sering lepak di gerai berbual kosong atau di depan rumah sehingga mengganggu jiran. Maklumlah ada yang datang dengan motor.
''Selepas tiga bulan kahwin saya hamil, jadi saya tak kisah kalau dia pulang lewat namun saya tegah kawan-kawannya lepak depan rumah kerana tak mahu menyinggung jiran.
''Saya fikirkan tentu perangainya berubah, malangnya dia semakin ligat dengan aktiviti berkelah dan bermotor dengan kawan-kawannya. Saya masih mengharapkan dia berubah selepas bersalin dan melihat muka anak. Malangnya tidak berlaku.
''Sudahlah tidak pernah hantar saya ke klinik untuk pemeriksaan doktor, membawa anak ke klinik untuk suntikan pun dia tak mahu. Saya terpaksa minta bantuan kakak untuk menemani sambil membawa anak yang masih kecil. Alasan dia tak ada lesen memandu, saya terima. Tetapi setelah habis pantang dan boleh pandu kereta mengapa dia tak boleh temankan saya bawa anak ke klinik?
''Bagi saya, dia lebih pentingkan kawan-kawan daripada saya dan anak. Mungkin dia belum puas hidup bujang.
''Saya cuba bersabar hingga anak berusia setahun. Akhirnya saya ambil keputusan minta cerai. Banyak sebabnya, antaranya dia terlalu berkira soal belanja makan minum sedangkan dia tak bayar sewa rumah, sebab rumah itu rumah saya. Bayar bil elektrik dan air pun dia mengelak. Apa yang lebih menyakitkan hati, dia berkira beli susu dan makanan anak. Apabila saya suruh, dia beri alasan terlupa dan kedai tutup.
''Pendek kata saya terpaksa belanja ekstra tetapi sampai bila? Setelah berbincang saya minta cerai namun dia enggan. Saya buat aduan ke pejabat agama dan beritahu segalanya.
" Dia hanya setuju bercerai dan keluar rumah setelah saya janji tidak akan tuntut nafkah anak. Saya tahu dia jenis kedekut dan lebih pentingkan kawan daripada keluarga sendiri.
"Setelah bercerai, nenek saudara datang bertanya perasaan saya. Saya katakan tak ada masalah kerana saya boleh jaga anak sendiri.
''Kata nenek, banyak bezanya hidup sendirian berbanding hidup sendiri dengan anak. Sebab kita tidak akan sunyi bila tua nanti. Barulah saya faham maksudnya.'' Itu cerita Norsuhaili yang kini gembira hidup sebagai ibu tunggal.
Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan