JOM TERJAH:

Sertai online survey dan anda dibayar setiap survey
klik link dibawah untuk menyertai
ipanelonline survey

Daftar SAYS Malaysia di sini

InstaForex

Cari Blog Ini

Selasa, 20 Disember 2011

Layakkah PAS laung slogan " PAS FOR ALL"


Mantan Naib Presiden Pas, Datuk Dr Hasan Ali jadi tumpuan media Melayu sepanjang minggu lalu. Puncanya beliau terlalu fokus pada soal perpaduan Melayu dan umat Islam serta kedudukan Raja Raja Melayu sebagai payung agama dan adat istiadat Melayu.

Teras pandangan Hasan ialah, sesuatu mesti dilakukan untuk mengemudi umat Islam dan rakyat keturunan Melayu serta institusi Raja-raja Melayu terhindar daripada kemelut perpecahan dan persengketaan sesama sendiri yang amat kalut dewasa ini.

Meskipun dakwaan Hasan ini memang telah agak lama sayup kedengaran, namun baru Isnin lalu beliau menghamburkan perasaannya berhubung isu ini. Dengan mengetepikan kepentingan kedudukan politiknya dalam PAS dan sebagai exco yang bertanggungkjawab soal ehwal agama di Selangor, Hasan menebarkan cabaran yang dihadapinya selama ini ke khalayak yang lebih luas dan mensejagati orang Melayu-Islam umumnya.

Yang menjadi persoalannya apakah benar isu yang dilambung Hasan ke tengah masyarakat ini? Betapa parahkah masalah perpaduan di kalangan orang Melayu-Islam di Malaysia hari ini? Adakah benar perpecahan ini kini sudah sampai tahap menjadi sengketa sesama Melayu dan umat Islam? Benarkah jika isu ini tidak ditangani segera ia akan mengancam masa depan mereka?

Benarkah juga jika sengketa sebangsa dan seagama ini tidak dipadamkan segera ia bukan sahaja akan mengancam kerukunan hidup bangsa Melayu dan umat Islam tetapi akan langsung mengheret rakyat dari keturunan dan agama lain pula di Malaysia hingga negara jadi porak peranda?

Sehubungan itu, wajarkah sebuah badan yang cuba menggerakkan perpaduan di kalangan orang Melayu-Islam diwujudkan di Malaysia seperti yang disyorkan oleh Hasan Ali? Patutkah juga inisiatif menubuhkan badan ini dibuat di peringkat tertinggi dalam hiraki kerajaan dengan membabitkan Perdana Menteri sendiri?

Hasan Ali ahli PAS. Kedudukannya sebagai exco kerajaan negeri Selangor ialah kerana PAS. Sebab itu, Hasan berulang kali menegaskan perjuangannya adalah berteraskan dasar perjuangan PAS. Sebagai sebuah parti politik sudah tentu perjuangan PAS meliputi pelbagai perspektif.

Lantas bila Hasan mahu memagari akidah umat Islam dengan menggunakan kuasa exconya dan tidak mahu hak orang Melayu diperjudikan kerana kepentingan politik dan menghormati institusi raja yang dimaktub dalam Perlembagaan Negara, tentu beliau yakin bahawa PAS akan menyokongnya.

Namun perkara sebaliknya berlaku. Perjuangannya yang memegang tampuk kuasa memelihara kepentingan Melayu dan Islam jadi momokkan segelintir ahli PAS sendiri pula. Apabila Hasan mahu menganggap “wajib” baginya memerangi maksiat minum arak di kalangan orang Islam (di Selangor sekurang-kurangnya) ada pemimpin PAS Selangor sendiri yang dengan bangganya menziarahi kilang arak di Shah Alam.

Tujuannya jelas. Pemimpin ini seolah-olah mahu member isyarat bahawa Islam bukan anti-perniagaan arak. Lebih penting lagi belilau ingin menggambarkan Islam itu toleran dan Hasan Ali tidak faham hakikat ini.

Begitu juga apabila kedengaran laporan ada kegiatan tersusun untuk memurtadkan umat Islam dan Hasan menggerakkan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertindak lebih gigih, pemimpin PAS Selangor yang sama mula menziarahi gereja Kristian untuk mengetengahkan mesej bahawa Islam bukan anti-Kristian.

Alasan yang diberikan ialah orang bukan Islam, terutama penganut Kristian, mestilah diyakinkan bahawa Islam agama yang adil dan menghormati hak penganut agama lain. Pemantauan JAIS yang menurut telunjuk Hasan bagi pemimpin PAS ini, menunjukkan Hasan tidak faham soal kebebasan bukan Islam untuk “memperkembangkan” agama mereka, hatta di kalangan orang Melayu-Islam sendiri!

Apabila berlaku gejala keruntuhan sosial yang serius di kalangan generasi muda Melayu-Islam, Hasan sebagai pemegang amanah untuk menguruskan ehwal Islam di Selangor menggerakkan kempen anti-zina. Lubuk dan sarang yang boleh membawa kepada dosa zina diserbu dengan tujuan “menggerunkan” pemuda-pemudi (kadangkala orang tua) Islam dari terjebak dalam noda zina.

Sekali lagi PAS Selangor seolah-olah berasa malu kerana Hasan bersikap terlalu konservatif dan cuba memautkan label kononnya Hasan tidak faham politik. Golongan ini khuatir jika tindakan Hasan ini dicurigai oleh handai taulan PAS dalam Pakatan Rakyat, ia akan menjejaskan strategi lebih besar PAS untuk menawan Putrajaya!

Lantas disusunlah strategi untuk membunuh kerjaya politik Hasan. Diungkitlah kisah bagaimana Hasan beria-ia benar berunding dengan Umno untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Selangor apabila BN tumbang dalam pilihanraya umum 2008. Soalnya, jika tiada restu daripada kepimpinan Pusat PAS, sudah tentu Hasan sebagai pesuruhjaya PAS Selangor tidak akan memulakan perbincangan.

Lebih menggusarkan sekarang ialah, Dewan Pemuda PAS dan Dewan Ulama parti itu melihat tidak ada salahnya jika Hasan memperjuangkan isu Islam, Melayu dan Raja Berperlembagaan. Namun golongan yang dianggap “terlebih kreatif” untuk memasukkan PAS dalam rombongan Pakatan Rakyat memasuki gerbang Putrajaya, memulakan kempen politik untuk memburukkan Hasan.

Ini boleh dianggap konspirasi. Hasan cuba diaibkan dengan mendedahkan kononnya beliau tidak mendapat restu dari pimpinan PAS Gombak Setia untuk mempertahankan kerusi dewan undangan negeri yang disandangnya kerana “kalah di segi populariti dan majoriti” berbanding tiga calon lain.

Umum tahu bukan amalan PAS untuk mendedahkan siapa calon sebelum pimpinan Pusat membuat keputusan. Ini disahkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang sendiri. Maka niat gerombolan yang bertindak demikian adalah jelas bermotif politik.

Namun apa tindakan diambil ke atas mereka? Tidakkah Saari Sungib, Ketua Penerangan PAS Selangor dan kawan-kawannya bersalah menebarkan hasad mereka terhadap Hasan melalui media? Ini tentu mengaibkan PAS. Mengapa PAS sibuk mempertikaikan bahawa hukuman terhadap tiga Datuk T terlalu ringan berbanding dengan dosa mereka menayangkan video lucah yang dikatakan membabitkan Anwar Ibrahim hanya untuk mengaibkan beliau?

Bagaimanapun apabila ada ahli PAS mengaibkan parti itu di khalayak ramai seperti berlaku di Selangor, PAS Pusat langsung tiada mengambil sebarang tindakan.

Haji Hadi, Nik Aziz dan pemimpin utama PAS lain mesti tampil untuk memperjelaskan sama ada perjuangan Hasan Ali (dan dikaitkan juga mantan Timbalan Presiden parti, Nasharuddin Mat Isa) iaitu Islam, Melayu dan Raja Berperlembagaan – bukan sebahagian daripada perjuangan PAS.

Atau, adakah Hadi dan Nik Aziz sendiri kini dibuai oleh angan untuk berpindah ke Putrajaya hingga rimas dengan tindakan Hasan Ali yang dikatakan akan menjejaskan kerjasama dengan PKR dan DAP?

Apakah tidak ada ruang dalam PAS bagi Hasan Ali berbeza pendapat berhubung strategi dan maqasid perjuangan parti? Mungkin Hasan Ali tidak faham strategi PAS yang lebih komprehensif dalam Pakatan Rakyat. Bagaimanapun adakah pemimpin kanan PAS sudah berusaha menasihatinya agar beliau faham?

Jika khilaf ini tidak diperbetulkan, wajarkah PAS melaungkan slogan “PAS Untuk Semua” jika “semua” itu tidak meliputi soal menghormati perbezaan pendapat dari kalangan ahli parti?

Menuduh Hasan sudah terjebak dalam politik Umno adalah kenyataan tidak ikhlas bagi PAS yang mengaku sebuah pergerakan Islam. Perlulah PAS menimbangkan juga kebimbangan ahli akar umbinya bahawa oleh kerana terlalu ghairah mahu menumbangkan Umno, PAS sendiri mungkin tersasar dari landasan perjuangannya.

Tiada ulasan: