JOM TERJAH:

Sertai online survey dan anda dibayar setiap survey
klik link dibawah untuk menyertai
ipanelonline survey

Daftar SAYS Malaysia di sini

InstaForex

Cari Blog Ini

Selasa, 17 Januari 2012

SBPA: Usah dibuat tergesa-gesa

SAYA ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak kerana prihatin bagi memberikan pembelaan kepada penjawat awam melalui penangguhan pelaksanaan Sistem Saraan Baru (SBPA).

Pada pandangan saya, SBPA tidak wajar dibuat tergesa-gesa kerana perkara yang dibuat secara tergesa-gesa akan mengundang banyak ketidakpuasan hati penjawat awam sebaik dilaksanakan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) wajar mengambil masa lebih lama, sekurang-kurang setahun lagi untuk membuat suatu sistem yang berupaya memberi faedah kepada kesemua penjawat awam, bukan segelintir penjawat awam. Seperti kata bidalan 'Hati gajah sama dilapah hati kuman sama dicecah'.

Kepincangan SBPA akan dapat diperbetulkan sekiranya kenaikan gaji untuk JUSA dan ke atas tidak dijadikan sasaran utama dan tidak dibuat secara melampau. Dilaporkan bahawa JUSA mendapat kenaikan gaji pokok RM5,500. Selain itu, mereka mendapat pelbagai elaun serta kemudahan lain termasuk sebuah kereta rasmi serta pemandu yang menjemput dari rumah dan menghantar pulang setiap hari (JUSA B ke atas).

Selain kereta, penyelengaraan kereta, bayaran tol serta kereta yang berusia empat tahun tersebut boleh dibeli pada harga selepas taksiran semasa sekali dalam perkhidmatan mereka.

Kakitangan awam selain gred itu menggunakan kenderaan sendiri untuk urusan rasmi serta kenderaan jabatan yang terhad bilangannya. Kerajaan hanya membayar elaun perbatuan, bayaran tol serta bayaran balik letak kereta. Kereta yang kerap digunakan sudah tentu perlu diselenggarakan serta dibaiki jika rosak ia perlu ditanggung sendiri daripada duit gaji pegawai kategori berkenaan. Ini sebagai perbandingan kakitangan JUSA dan bukan JUSA.

Pewujudan Kumpulan Premier pula dengan diberi gaji yang lumayan serta pelbagai kemudahan lain. Keberhasilan mereka disandarkan dengan KPI serta keberhasilan pencapaiannya yang mana disumbangkan daripada keberhasilan pegawai-pegawai serta kakitangannya. Ini dirasakan tidak perlu serta dilihat sebagai suatu pembaziran sumber kewangan negara.

Penjawat awam sedia ada misalnya sudah mampu melaksanakan tugas dengan cemerlang. Banyak inovasi telah dilaksanakan oleh kumpulan sedia ada contohnya seperti Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis, Bomba, Kesihatan serta lain-lain agensi kerajaan.

Secara perbandinganya, Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara telah berjaya melahirkan atlet bertaraf dunia. Ini dibuktikan melalui pungutan pingat emas dalam setiap pertandingan di peringkat antarabangsa serta banyak rekod baharu antarabangsa dicipta.

Melalui bilangan pegawai belia yang kecil juga warga Jabatan Belia dan Sukan Negara bakal menghimpun dua juta belia tahun ini di Putrajaya sebagai KPI Menteri Belia dan Sukan. Pada tahun lalu, sejuta orang belia telah berjaya dikumpulkan.

Kesemua itu dicapai dengan bilangan kakitangan awam yang tidak besar serta dengan usaha khidmat Ketua Setiausaha Kementerian yang ada. Justeru, mencadangkan pewujudan kumpulan primer perlu kajian mendalam. Setiap kementerian sudah ada menteri dibantu oleh beberapa Timbalan Menteri yang sentiasa bekerja sebagai suatu pasukan bersama penjawat-penjawat awam sedia ada. Menteri-Menteri sedia ada bekerja berteraskan KPI masing-masing yang ditetapkan PEMANDU melalui objektif Gagasan 1Malaysia bagi mendahulu dan mengutamakan rakyat.

Apatah lagi orang luar turut dibenarkan mengisi jawatan tersebut (premier). Sebagai perbandingan lagi, pada tahun 2009 orang luar diberikan peluang mengisi jawatan Ketua Komunikasi Korporat dan diberikan gred Terbuka 54 di setiap kementerian. Keadaan ini meminggirkan penjawat sedia ada.

Seseorang penjawat awam yang dilantik atas gred 41 misalnya sekurang-kurangnya mengambil masa lebih 20 tahun untuk mendapat kenaikan pangkat ke gred 54 dan tidak semua sampai ke peringkat itu. Tetapi orang luar yang hanya punyai kelulusan yang sama, malah tidak ramai yang punyai kelulusan peringkat sarjana apatah lagi Doktor Falsafah (Ph.D) dilantik ke jawatan tersebut. Mereka perlu mempelajari selok belok berkhidmat dalam sektor awam semula kerana mempunyai latar belakang yang berbeza.

Malah khidmat pegawai perhubungan awam sedia ada dikerah bagi melaksanakan pelbagai tugas yang sebelum inipun sudah berpuluh tahun dilaksanakan oleh pegawai perhubungan awam sedia ada. Orang luar yang dilantik mengetuai Unit Komunikasi Korporat didapati ada yang tidak berlandaskan 'blue ocean strategy', serta bukan dalam kalangan 'subject matter expert' seperti yang dicanangkan. Justeru, apa perlunya golongan ini berada dalam sektor awam serta dibayar upah yang lumayan.

Justeru penangguhan SBPA adalah sesuatu yang bertepatan dibuat oleh Perdana Menteri yang prihatin. Tempoh masa serta ruang berfikir yang mencukupi perlu diberikan kepada pihak JPA. Ciptalah suatu skim untuk kepentingan seramai 1.4 juta kakitangan awam yang menanggung hampir 10 juta rakyat Malaysia sebagai ahli keluarga mereka. Hasrat murni JPA membuat transformasi dalam SBPA amat dihargai.

Tiada ulasan: