JOM TERJAH:

Sertai online survey dan anda dibayar setiap survey
klik link dibawah untuk menyertai
ipanelonline survey

Daftar SAYS Malaysia di sini

InstaForex

Cari Blog Ini

Memaparkan catatan dengan label muhdalina ahmad. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label muhdalina ahmad. Papar semua catatan

Khamis, 19 Jun 2014

Muhdalena terlepas hukuman

Mahkamah Sesyen di sini, hari ini melepaskan seorang wanita daripada empat pertuduhan, dalam satu kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri(JPM) dua tahun lalu.

Hakim Muhamad Kamil Nizam membuat keputusan itu terhadap Muhdalena Ahmad, 30, kerana mendapati tertuduh mengalami ketidak sempurnaan akal semasa kejadian.

Sehubungan itu, Muhamad Kamil memerintahkan Muhdalena ditahan dengan selamat di Hospital Permai Tampoi, Johor sementara menunggu diperkenan Yang di Pertuan Agong.

Muhdalena didakwa empat pertuduhan dalam kejadian di Kompleks B, JPM, Presint 1, Putrajaya kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai 2012.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mendatangkan cedera parah kepada seorang anggota polis Lans Koperal Ridzuan Megat Ahmad manakala bagi tuduhan kedua, dia didakwa membawa sebilah pedang.

Pendakwaan bagi pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dia turut didakwa tidak mematuhi perintah yang diberikan Lans Koperal Ridzuan untuk meletakkan senjata di kawasan yang telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan mengikut perintah kawasan-kawasan larangan (No 2) 2000.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengiku Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (akta 298) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 7 akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhdalena turut berdepan tuduhan tidak mematuhi perintah yang diberikan menteri dengan berada di premis itu tanpa memiliki permit atau pas yang dikeluarkan mana-mana pihak berkuasa, memasuki premis yang telah diisytiharkan sebagai tempat larangan mengikut perintah tempat larangan (No 2) 2000.

Pendakwaan bagi kesalahan itu dikemukakan mengiku Seksyen 5(1) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298) yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sebanyak RM1000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

RSS Sinar Harian: Semasa

Sumber: Artikel dan berita di atas di petik dari laman Sinar Harian. Sumber dinyatakan.

Jumaat, 10 Januari 2014

Muhdalena diperintah bela diri

Muhdalena Ahmad, yang didakwa mengamuk bersama-sama seorang lelaki bersenjatakan pedang samurai di luar kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Julai 2012, hari ini diperintah membela diri terhadap empat pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Mohamed Kamil Nizam memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Muhdalena, 29, atas empat pertuduhan.

Empat pertuduhan itu ialah melakukan ugutan jenayah terhadap polis bantuan Koperal Ridzuan Megat Ahmad di Kompleks 'B' JPM pada 9 Julai 2012, memiliki sebilah parang, mengingkari perintah Ridzuan supaya meletakkan senjata dan gagal mematuhi nasihat seorang menteri supaya mendapatkan pas atau permit sebelum memasuki premis berkenaan yang merupakan kawasan larangan.

Mohamed Kamil menetapkan 13 Februari untuk wanita itu membela diri.

Hakim juga menetapkan dua lagi tarikh -- 24 Februari dan 25 Februari -- untuk mendengar keterangan dua pakar psikiatri iaitu Umi Adzlin Silim dari Hospital Putrajaya serta Pengarah dan Perunding Psikiatri Forensik Hospital Bahagia, Ulu Kinta Dr Rabaiah Mohd Salleh.

Peguam yang mewakili Muhdalena, M.Visvanathan memaklumkan mahkamah anak guamnya itu akan memberikan keterangan secara bersumpah dan beliau juga akan memanggil dua psikiatri itu sebagai saksi pembelaan.

Semasa menyampaikan keputusannya, Mohamed Kamil berkata keterangan Ridzuan membantunya dalam membuat keputusan bahawa Muhdalena telah mengugut untuk mendatangkan bahaya kepada pegawai polis bantuan itu, berdasarkan keterangannya bahawa tertuduh dan rakan lelakinya telah membuat ugutan dan menyerang walaupun diarah meletakkan senjata.

Ridzuan dalam keterangannya berkata rakan Muhdalena, Khalil Afendi Abd Hamid menjerit "Polis jangan masuk campur, kalau tak, mati", dan selepas itu kedua-dua mereka meluru ke arahnya, memaksanya melepaskan tembakan.

"Walaupun Ridzuan seorang anggota polis bersenjata tetapi dengan mengambil kira tertuduh tidak berhenti walaupun diberi amaran tiga kali dan sebaliknya terus meluru ke arahnya, saya faham keadaan itu boleh menyebabkan Ridzuan bimbang akan nyawanya," katanya.

Mohamed Kamil berkata tiga pegawai polis di tempat kejadian dan rakaman CCTV membuktikan Muhdalena bersenjatakan parang di tempat kejadian.

Beliau juga memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen bagi pertuduhan ketiga dan keempat terhadap Muhdalena.

"Seorang saksi pihak pendakwaan Mohd Sukri Baharudin, anggota polis bantuan yang bertugas di pintu utama kompleks itu dalam keterangannya menyatakan Muhdalena masuk ke kawasan itu tanpa mendapatkan kad atau permit," kata Mohamed Kamil.

Muhdalena didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Kompleks B, JPM pada kira-kira 2.30 petang, 9 Julai, 2012.

Muhdalena dan Khalil Afendi, 47, dilaporkan mengamuk di luar kompleks JPM dengan bersenjatakan pedang samurai sebelum mereka ditembak dan Khalil meninggal dunia kemudiannya akibat kecederaan.

Bagi pertuduhan melakukan jenayah ugut mengikut Seksyen 506, Kanun Keseksaan, dia berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan memiliki senjata mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Muhdalena juga berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya mengikut Akta Tempat Larangan dan Kawasan Larangan 1959. - Bernama

Jumaat, 12 Oktober 2012

Amuk JPM: Muhdalena hadapi 2 lagi tuduhan, diarah jalani pemeriksaan mental

Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan untuk merujuk Muhdalena Ahmad, yang menghadapi tuduhan insiden mengamuk di pekarangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Julai lalu, agar menjalani pemeriksaan mental.

Malah, hari ini dia menghadapi dua tuduhan baru.

Peguamnya, M. Visvanathan memberitahu mahkamah bahawa terdapat keterangan prima facie bahawa anak guamnya mempunyai gejala 'depress', yang berkemungkinan dia tidak dapat memahami dan menilai perbicaraan yang dijalankan ke atasnya.

Visvanathan, yang merujuk laporan perubatan Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Putrajaya, Dr Umi Adzlin Silim, berkata anak guamnya disaran dirujuk kepada Pakar Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta bagi menjalani penilaian dan rawatan di fasiliti yang mempunyai pengkhususan dan berkepakaran tinggi dalam menilai tahap mental Muhdalena.

Menurut laporan perubatan yang dikemukakan di mahkamah, Muhdalena masih mengalami gejala kemurungan, namun semakin berkurangan.

Beliau masih mengalami mimpi-mimpi buruk dan kejadian pelik di mana kadang-kadang dia merasakan dirinya seorang 'pahlawan' dari zaman silam yang bersedia untuk bertempur pada bila-bila masa.

Laporan perubatan itu juga menyebut, gejala delusi yang dialaminya semakin terkawal.

Bagaimanapun tidak lagi mengalami halusinasi mendengar suara ghaib, namun masih mendengar suara berdesing di telinga.

Visvanathan juga berkata, Muhdalena mengambil beberapa jenis ubat-ubatan termasuk ubat antikemurungan, ubat antipsikotik bagi mengatasi gejala-gejala tersebut.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mohamad Kamil Nizam menetapkan Muhdalena, 28, perlu mengikuti pemeriksaan selama sebulan dan menangguhkan perbicaraan kes tersebut sehingga menerima laporan perubatan.

Dalam pada itu, ketika prosiding hari pertama perbicaraan hari ini, Muhdalena menghadapi dua lagi pertuduhan baru dan mengaku tidak bersalah atas kedua-dua kesalahan tersebut.

Pertuduhan baru pertama membabitkan kesalahan, tidak mematuhi perintah yang diberikan Lans Koperal Ridzuan Megat Ahmad, seorang pegawai berkuasa meletakkan senjata di kawasan yang telah diisytiharkan sebagai satu kawasan larangan mengikut Perintah Kawasan-kawasan Larangan (No. 2) 2000.

Beliau turut menghadapi tuduhan tidak mematuhi perintah yang diberikan menteri dengan berada di premis (tempat kejadian) tanpa memiliki paskad atau permit yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Kesalahan-kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 4(2) dan 5(1) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 7 akta sama, yang mana jika sabit kesalahann dia berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda sebanyak RM1,000 atau kedua-duanya.

Hakim Mohamad Kamil Nizam membenarkan Muhdalena diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan baru itu, serta membenarkan kedua-dua kes dibicarakan bersama dua lagi tuduhan yang dihadapinya sebelum ini.

Julai lalu, ibu kepada dua anak itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mendatangkan cedera parah kepada seorang anggota dan tuduhan kerana membawa sebilah pedang.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kompleks B, JPM, Presint 1, Putrajaya kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai lalu.

Kesalahan pertama didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, Muhdalena hadir di mahkamah sambil ditemani ibu, bapa, suami dan anak-anaknya.

Kes ditangguh sehingga 23 November ini.
-sinar

Khamis, 13 September 2012

Power Rangers Kuning Muhdalena Ahmad Mental?

Mahkamah Sesyen menetapkan kes seorang wanita yang mengamuk di pekarangan Pejabat Perdana Menteri di sini, Julai lalu akan didengar 11 Oktober ini.

Muhdalena Ahmad, 28, sebagaimana muncul sebelum ini dengan mengenakan topeng, hari ini sekali lagi keluar dari kawasan mahkamah dengan memakai topeng, kali ini berwarna kuning.

Dalam pada itu, mahkamah diberitahu bahawa keupayaan mental Muhdalena Ahmad, yang dituduh melakukan jenayah ugutan dan memiliki sebilah pedang mungkin perlu ditentukan terlebih dahulu sebelum perbicaraan ke atasnya dimulakan.

Peguam kepada wanita itu, M. Visvanathan berkata terdapat keperluan mengkaji sama ada dia berupaya untuk dibicarakan.

Beliau berkata jika perlu, beliau akan membuat permohonan supaya wanita itu menjalani penilaian psikiatri pada masa yang sesuai.

"Pada masa ini saya tidak mempunyai fakta yang cukup. Saya perlu menemu bual dan berbincang dengannya sebelum mengambil keputusan membuat permohonan supaya dia menjalani penilaian psikiatri.

"Jika didapati dia berkeadaan tidak waras (fikiran), saya akan membuat perakuan kepada Peguam Negara supaya menggugurkan pertuduhan terhadapnya," kata Visvanathan di akhir sesi pengurusan kes tersebut di Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini.

Dipetik Bernama, peguam itu memberitahu pemberita bahawa beliau berada di Mahkamah Sesyen itu hari ini atas urusan lain apabila Muhdalena, 28, memberitahu dia tidak mempunyai peguam lain untuk mewakilinya dan berkata, beliau bertindak mewakili wanita itu atas asas bantuan guaman.

Terdahulu, mahkamah sama menetapkan 11 dan 12 Oktober sebagai tarikh perbicaraan.

Hakim Mohamad Kamil Nizam juga memutuskan 28 September sebagai tarikh pengurusan kes itu yang akan datang.

Selain itu, hakim itu juga meminta pihak pendakwaan dan pembelaan mengadakan sidang pra perbicaraan sebelum perbicaraan sebenar.

Beliau bertanyakan Muhdalena sama ada dia masih mahu dibicarakan atas dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya yang mana wanita itu menjawab setuju.

Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh memberitahu mahkamah pihak pendakwaan menyerahkan beberapa dokumen berhubung kes itu kepada Muhdalena dan akan mengemukakan dokumen lain kepada peguamnya sebelum bermulanya perbicaraan.

Setelah berakhirnya prosiding di Mahkamah Sesyen, Muhdalena, yang memakai topeng kuning 'Power Rangers', dilihat keluar dari mahkamah bersama bapanya.

Semasa tampil di mahkamah sebelum ini, wanita itu dilihat memakai topeng berwarna merah.

Muhdalena, dari Kota Damansara, dituduh pada 16 Julai lepas di katil rawatannya di Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan pada paha kanannya.

Dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam untuk mencederakan anggota polis bantuan, Ridzuan Megat Ahmad di perkarangan Kompleks B Jabatan Perdana Menteri di sini pada kira-kira 2.30 petang 9 Julai lalu.

Muhdalena, siswazah Universiti Islam Antarabangsa, menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dia juga dituduh memiliki sebilah pedang pada masa dan tempat yang sama mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 sementara menunggu perbicaraan.

Pada 9 Julai lalu, Khalil Afandi Abd Hamid, 47, yang mendakwa dirinya Imam Mahadi ditembak polis semasa mengamuk dengan memegang sebilah pedang Samurai di Kompleks B Jabatan Perdana Menteri, di sini.

Lelaki itu kemudian meninggal dunia di hospital semasa menerima rawatan bagi kecederaan yang dialami semasa kejadian.

Khamis, 30 Ogos 2012

Muhdalena Ahmad hadir di mahkamah untuk sebutan kes amuk di JPM pakai topeng Power Rangers

Wanita yang terlibat dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM) awal Julai lalu memakai topeng 'Power Rangers' warna merah bagi mengelak wajahnya dirakam media selepas selesai sebutan kesnya di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Muhdalena Ahmad dilihat hadir ke mahkamah berbaju dan bertudung merah, ditemani bapanya, sempat menunjukkan isyarat keamanan ketika wajahnya cuba dirakam media.

Pada prosiding hari ini, mahkamah mengarahkan wanita itu, melantik peguam secepat mungkin.

Hakim Mohd Kafli Che Ali berkata, mahkamah memberi tempoh dalam masa satu bulan untuk dia melantik peguam supaya semua isu berkaitan dokumen-dokumen kes itu boleh diselesaikan sebelum tarikh bicara ditetapkan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 12 September depan untuk pengurusan kes berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nor Mazrah Ahmad Din berkata, tertuduh perlu melantik peguam dan menyelesaikan segera perkara-perkara yang dipersetujui antara pihak pendakwaan dengan tertuduh sebelum perbicaraan.

Menurutnya, terdapat pindaan dalam kanun prosedur jenayah yang menyatakan, kes perbicaraan perlu dilaksanakan dalam tempoh 90 hari dari tarikh didakwa.

Pada 19 Julai lalu, Muhdalena Ahmad, 28, mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan iaitu mengugut polis dan membawa pedang.

Prosiding pendakwaan ketika itu terpaksa dijalankan di Hospital Putrajaya kerana dia sedang dirawat selepas cedera dalam kejadian amuk berkenaan.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mendatangkan cedera parah kepada seorang anggota polis Ridzuan Megat Ahmad manakala bagi tuduhan kedua, dia didakwa membawa sebilah pedang.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kompleks B, JPM, Presint 1, Putrajaya kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai lalu.
Kesalahan pertama didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dia diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Pada kejadian tersebut, dia bersama dengan Khalil Afandi Hamid, 47, mengamuk di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya kira-kira jam 2.30 petang, namun Khalil mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari, manakala Muhdalena turut terkena tembakan di paha kanan.

Isnin, 16 Julai 2012

Muhdalena didakwa ugut polis, bawa pedang


Wanita yang mengamuk bersama seorang lelaki dengan bersenjatakan pedang samurai di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini minggu lepas, hari ini didakwa atas dua tuduhan iaitu ugutan jenayah dan membawa pedang.

Muhdalena Ahmad, 28, yang merupakan bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu.

Dia didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya yang bersidang di wad ortopedik Hospital Putrajaya di mana dia sedang menerima rawatan akibat daripada kecederaan yang dialaminya dalam kejadian amuk itu.

Bernama melaporkan bahawa bagi tuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mendatangkan cedera parah kepada seorang anggota polis Ridzuan Megat Ahmad manakala bagi tuduhan kedua, dia didakwa membawa sebilah pedang.

Dia dituduh melakukan kedua-dua tuduhan itu di Kompleks B, JPM, Presint 1, Putrajaya kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai lepas.


Bagi tuduhan pertama, Muhdalena, dari Kota Damansara, Petaling Jaya, didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Kafli Che Ali menetapkan 29 Ogos untuk sebutan kes dan membenarkan Muhdalena diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Balkiah Yazaid.

Terdahulu difahamkan dalam rayuannya, Muhdalena dalam keadaan menangis berkata, dia dan suaminya tidak bekerja dan keluarganya disara oleh ibu serta mertuanya.

Hakim bersama-sama seorang jurubahasa, pendaftar Mahkamah Sesyen dan Timbalan Pendakwa Raya diiringi beberapa pegawai polis tiba di hospital itu pada 11.55 pagi.

Dalam kejadian Isnin lepas, rakan tertuduh, Khalil Afandi Abd Hamid yang mengisytiharkan dirinya sebagai imam Mahadi ditembak mati oleh polis, meninggal di hospital Putrajaya, manakala Muhdalena mengalami kecederaan di pahanya.-sinar

Kes amuk: Adik orang kanan Khalil direman

Adik lelaki kepada Muhdalina Ahmad dirakamkan percakapan bagi membantu siasatan berhubung kejadian amuk di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, keterangan lelaki itu diambil kelmarin.

“Siasatan kes itu masih dijalankan. Kita akan panggil sesiapa sahaja yang boleh membantu siasatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Razak berkata, kertas siasatan itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, lima individu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kejadian amuk terbabit.

Individu itu antaranya, suami Muhdalina, isteri Khalil Afandi Abd Hamid dan seorang pemblog .

Dalam kejadian itu, polis terpaksa melepaskan tembakan setelah Khalil Afandi dan Muhdalina mengamuk dengan bersenjatakan pedang samurai.

Tembakan itu menyebabkan Khalil Afandi Abd Hamid maut ketika dirawat di Hospital Putrajaya, manakala Muhdalina cedera di paha kanan.-sinar

Ahad, 15 Julai 2012

Muhdlina Ahmad mungkin akan didakwa, kertas siatan kes amuk di JPM diserah kepada AG esok

Polis akan mengemukakan kertas siasatan berhubung rakan wanita Khalil Afandi Abdul Hamid, yang turut bersamanya mengamuk di perkarangan Kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) Putrajaya Isnin lepas kepada pihak pendakwa raya esok.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata keputusan sama ada untuk mendakwa wanita itu di mahkamah akan diputuskan oleh pihak pendakwa raya.

Wanita itu masih dirawat di Hospital Putrajaya kerana kecederaan di paha kanan kerana terkena tembakan dalam kejadian amuk itu, katanya kepada pemberita pada kejohanan boling Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini hari ini.

Pada Isnin lepas, Khalil Afandi yang mengaku dirinya Imam Mahadi bersama wanita itu dengan bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging mengamuk di perkarangan Kompleks B, JPM di Putrajaya.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari, manakala wanita berkenaan, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama.

Susulan itu, polis menahan reman seorang lelaki yang merupakan rakan kepada Khalil Afandi yang beralamat di Taman Medan, Petaling Jaya Selatan. - Bernama

Amuk di JPM: Muhdalina jalani pemeriksaan mental

Polis mengesahkan Muhdalina Ahmad, 28, wanita yang terlibat dalam kes amuk di kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, Isnin lalu, akan menjalani pemeriksaan mental dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, wanita berkenaan masih menjalani rawatan di Hospital Putrajaya.

“Pihak hospital masih belum memaklumkan kepada saya, sama ada Muhdalina sudah menjalani pemeriksaan mental. Namun polis telah mengambil keterangannya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pihaknya masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti penglibatan Muhdalina serta punca dia terpengaruh untuk melakukan tindakan itu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang Isnin lalu, seorang lelaki dan wanita mengamuk di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Khalil Afandi Hamid, 47, yang mendakwa dirinya Imam Mahadi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari, manakala Muhdalina turut terkena tembakan di paha kanan.-sinar

Sabtu, 14 Julai 2012

Pengakuan suami Muhdalina Ahmad, Mohd Irwan Mohd Foad tentang kejadian Amuk bahagian II

KEJADIAN amuk yang berlaku di Kompleks B Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya Isnin lalu, menggemparkan negara apabila seorang individu menggelarkan dirinya imam Mahdi begitu berani merempuh masuk de ngan menggunakan pedang samurai. Individu itu, Khalil Afandi Abd Hamid, 47, dikatakan mempunyai masalah kecelaruan personaliti, menggunakan Internet sebagai medium untuk menyebarkan fahamannya. Ketika kejadian, Khalil Afandi bersama seorang wanita dikenali, Muhdalina Ahmad, 28. Ikuti temubual khas wartawan Sinar Harian, bersama suami Muhdalina, Mohd Irwan Mohd Foad, 29, merungkaikan di sebalik kejadian amuk tersebut.



Muhdalina seperti dipukau
Bagaimana pula dengan keadaan Muhdalina?

Saya lihat isteri saya bukan seperti insan yang saya kenali. Dia tidak sedar dengan apa yang dilakukannya. Diaseperti dipukau. Dia taksub dengan apa yang dilakukan Khalil Afandi. Apabila sampai ke tahap itu, saya sudah mula syak bahawa dia membawa
ajaran songsang dan berfikir untuk membuat laporan di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), tetapi tidak sempat.

Apa yang membuatkan saya pasti Khalil Afandi membawa ajaran sesat apabila dia berkata manusia tidak perlu solat, syurga neraka tidak ada, jangan ikut Nabi Muhammad SAW dan bertegas hanya dia seorang sahaja yang boleh masuk syurga.

Pada ketika itu, saya cuma boleh memikirkan keadaan isteri saya, saya amat risau keadaannya kerana isteri saya amat taksub kepada Khalil Afandi sehingga boleh disifatkan tidak normal.


Apa yang Mohd Irwan lakukan untuk menghalang tindakan isteri sebelum pergi lebih jauh?

Saya pernah mengajaknya untuk pulang dan menjelaskan keadaan yang sebenar tetapi tidak berjaya.
Muhdalina sekali lagi meminta saya supaya tidak menghalangnya untuk berjuang dan dia memaklumkan akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Saya tegah tetapi dia sekali lagi menuntut cerai. Saya pasrah demi keselamatan isteri.

Saya tegaskan di sini, saya tidak mampu untuk membiarkan isteri tinggal bersendirian dengan Khalil Afandi kerana risau akan keselamatannya. Memandangkan keadaan Khalil Afandi yang dilihat seperti orang tidak normal.

Khalil Afandi juga sering berkata kepada isterinya, “Aku akan bunuh kamu” sekiranya permintaannya tidak dituruti.


Langkah ke Putrajaya
Boleh ceritakan bagaimana peristiwa amuk di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) berlaku?

Saya mengaku, saya dan isteri Khalil Afandi yang menghantar mereka berdua ke Putrajaya.

Ketika di rumah, saya tersedar daripada tidur selepas mendengar jeritan Khalil Afandi kepada isterinya, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Tanpa berlengah, saya terus bangun dan hanya sempat mencuci muka untuk bersama-sama mereka bertiga.

Saya lihat Khalil Afandi membawa dua bilah pedang yang dibalut kemas. Saya dan Muhdalina bersama seorang anak lelaki Khalil Afandi, berusia 9 tahun, duduk di belakang.

Khalil Afandi duduk di bahagian penumpang hadapan manakala isterinya memandu kereta jenis Proton Gen 2 berwarna emas.

Khalil Afandi memegang erat dua bilah pedang tersebut. Setibanya di Putrajaya, Khalil Afandi mengarahkan kenderaan berhenti di Dataran Putra, kira-kira jam 1 petang.

Khalil Afandi bersama Muhdalina turun dan kami diarahkan pulang, jika tidak kami akan dibunuh.

Selepas itu saya tidak mengetahui sebarang berita mengenai mereka berdua sehinggalah Muhdalina menghubungi isteri Khalil Afandi dan memberitahu suaminya ditembak polis.

Ketika itu saya tidak mengetahui Muhdalina turut terkena tembakan dalam kejadian tersebut.

Kira-kira jam 4 petang, saya bergegas ke Hospital Putrajaya selepas mengetahui Muhdalina turut tercedera terkena tembakan di paha kanan.

Bagaimanapun, saya tidak dapat bertemu dengannya kerana kawalan ketat polis dan saya diarahkan untuk berjumpa dengan Ketua Polis Daerah Putrajaya, AsistenKomisioner Abdul Razak Abdul Majid. Selepas itu, baru saya dibenarkan melawat Muhdalina yang masih mendapatkan rawatan di unit kecemasan. Muhdalina ketika itu sedar tetapi kelihatan seolah-olah masih belum berada di dunia nyata.

Di sebelah Muhdalina pula terdapat jenazah Khalil Afandi.


Muhdalina seperti tidak tahu terlibat dalam kejadian amuk
Bagaimana dengan keadaan Muhdalina ketika di Hospital Putrajaya?

Ketika dia sedar, dia memohon maaf kepada saya tetapi masih tidak mengetahui apa yang berlaku.

Apabila saya ceritakan kepadanya, dia seolah-olah terkejut dan tidak mengetahui bahawa dia terlibat dalam kejadian amuk tersebut. Saya tunjukkan laporan dan gambar pada sebuah akhbar sebagai bukti. Dia terdiam malah terus memejamkan mata.

“Abang, saya tidak tahu. Itu bukan saya...saya tidak buat semua itu.” Itulah kata-kata yang terpacul dari mulut Muhdalina selepas dia melihat laporan akhbar tersebut.

Kesihatan Muhdalina ketika ini stabil. Doktor memaklumkan peluru yang tertanam di pahanya tidak boleh dikeluarkan kerana mungkin boleh menyebabkan kecederaan lebih parah.


Bagaimana perasaan Mohd Irwan bila mengetahui isteri terlibat dalam kejadian tersebut?

Suami mana yang tidak terkejut dengan kejadian ini? Saya tidak percaya dengan apa yang berlaku.

Apa yang boleh saya katakan di sini, Muhdalina tidak sedar terhadap apa yang dilakukannya. Semuanya kerana kehendak Khalil Afandi.

Saya sedih melihat keadaan dirinya sewaktu ini. Saya beranggapan dia tidak salah sepenuhnya.

Ketika kejadian, dia tidak sedar. Malah, selepas kembali normal, dia sedikit pun tidak mempercayai perbuatannya itu.

Saya meminta orang ramai tidak terus menyalahkan Muhdalina, termasuk diri saya juga kerana membiarkan perkara ini berlaku.

Jika anda berada di tempat saya...anda akan tahu apa yang saya alami. Saya tidak mampu untuk bertindak kerana khuatir dengan keselamatan diri dan isteri.

Saya minta Muhdalina tidak dijadikan sebagai ‘kambing hitam’ dalam kejadian ini
memandangkan Khalil Afandi meninggal dunia akibat tembakan tersebut.

Saya juga bekerjasama dengan polis dan memberikan semua maklumat yang mereka inginkan. Saya juga mengharapkan Muhdalina dapat dijamin.-sinar

Pengakuan suami Muhdalina Ahmad, Mohd Irwan Mohd Foad tentang kejadian Amuk

Pengakuan suami Muhdalina Ahmad, Mohd Irwan Mohd Foad tentang kejadian Amuk

KEJADIAN amuk yang berlaku di Kompleks B Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya Isnin lalu, menggemparkan negara apabila seorang individu menggelarkan dirinya imam Mahdi begitu berani merempuh masuk de ngan menggunakan pedang samurai.

Individu itu, Khalil Afandi Abd Hamid, 47, dikatakan mempunyai masalah kecelaruan personaliti, menggunakan Internet sebagai medium untuk menyebarkan fahamannya. Ketika kejadian, Khalil Afandi bersama seorang wanita dikenali, Muhdalina Ahmad, 28.
Ikuti temubual khas wartawan Sinar Harian, bersama suami Muhdalina, Mohd Irwan Mohd Foad, 29, merungkaikan di sebalik kejadian amuk tersebut.



Bagaimana sifat dan sikap Muhdalina sebelum mengenali Khalil Afandi?

Muhdalina adalah seorang isteri yang taat pada suami. Tidak pernah melawan dan seorang ibu yang penyayang. Pergaulan dan hukum agama tidak dipandang ringan. Sehelai rambut pun orang lain tidak dapat melihat melainkan saya sendiri.

Dia juga seorang yang ceria dan semua itu berubah selepas dia mengenali Khalil Afandi, tanpa pengetahuan saya.

Dia seolah-olah tidak sedar apa yang dilakukan termasuk apa yang dituturkan.


Bagaimana permulaan perkenalan Muhdalina dengan Khalil Afandi?

Perkenalan Muhdalina dengan Khalil Afandi bermula dua minggu sebelum kejadian amuk di Putrajaya. Sebelum ini saya tidak tahu dia sudah mengenali dan menghubungi Khalil Afandi melalui blog dan Facebook.

Saya buta teknologi maklumat (IT) dan tidak mengetahui perhubungan tersebut. Muhdalina berurusan dengan Khalil Afandi hanya ketika bekerja di pejabat, sebuah syarikat di Pelabuhan Klang.

Seminggu kemudian, baru saya tahu mereka berkenalan
antara satu sama lain. Ketika itu Muhdalina bertanyakan soalan; “Abang percaya ada lelaki hidup 1,000 tahun?” “Abang percaya bumi terbelah bila ditumbuk lelaki?” “Ada lelaki boleh tembus dinding?”

Saya menafikan soalan itu, namun Muhdalina mengiakan dan memberitahu Khalil Afandi boleh melakukan semua itu. Saya bertanyakan siapa lelaki itu dan dia menjawab Khalil Afandi adalah imam Mahdi.

Ketika itu saya hairan mengapa Muhdalina berubah dan begitu taksub dengan lelaki tersebut.



Kenal sejak dalam kandungan
Bila Mohd Irwan dan isteri tinggal sebumbung dengan Khalil Afandi?

Kami ‘berpindah’ ke rumah Khalil Afandi di Sri Kembangan pada malam Khamis iaitu empat hari sebelum tragedi amuk.

Muhdalina mendesak saya supaya membenarkan dia tinggal bersama Khalil Afandi. Saya tidak mengizinkan, tetapi dia mengugut akan menuntut cerai sekiranya dihalang. Saya tidak sanggup untuk berpisah jadi saya membenarkan dengan syarat saya menemaninya.

Sebelum hasrat itu disuarakan Muhdalina, dia menceritakan kepada saya bahawa Khalil Afandi sudah mengenalinya sejak dalam kandungan. Saya jadi bingung dengan kenyataan Muhdalina.

Bagi meyakinkan saya lagi, Muhdalina juga memberitahu, Khalil Afandi pernah bermimpi bertemu dengan seorang wanita berbaju kurung merah, mempunyai dua orang anak dan wanita itu adalah insan yang akan berjuang bersamanya bagi menegakkan keadilan.

Khalil Afandi mengatakan bahawa wanita itu adalah Muhdalina memandangkan kami mempunyai dua cahaya mata selain Muhdalina memiliki baju kurung berwarna merah.

Disebabkan itu, Muhdalina tekad untuk bersama dengan Khalil Afandi untuk berjuang. Kerana sayang, saya turuti kemahuan Muhdalina untuk tinggal bersama Khalil Afandi dan isterinya.

Keesokan harinya, Muhdalina menghantar surat berhenti kerja melalui e-mel kepada majikannya.



Apa yang berlaku sepanjang empat hari di rumah Khalil Afandi?

Ketika sampai di rumah itu, Khalil Afandi terus menjerit dan bertanya kepada saya, “Kenapa kamu tidak sembahyang? Aku tidak boleh tinggal serumah dengan orang yang tinggalkan sembahyang!”

Khalil Afandi juga mengatakan atas faktor itu, dia tidak bercampur dengan orang ramai kerana khuatir akidah terjejas.

Saya terkejut dan timbul sedikit kepercayaan kepada lelaki itu berikutan saya belum menunaikan solat (ketika itu).

Bagaimanapun, semua itu terhakis selepas Khalil Afandi mengatakan saya hanya perlu solat pada waktu malam dan bukannya waktu siang.

Mendengar penjelasan itu, rasa sangsi terhadap lelaki itu kian menebal.

Keadaan Khalil Afandi ketika itu amat pelik, bukan macam orang normal dan saya lihat dia sentiasa bermonolog sendirian.

Apa yang lebih pelik, dia memanggil ALLAH dengan nama ‘bos’.

Dia juga mendakwa kononnya dialah kekasih 'bos' yang paling tinggi. Watak Khalil Afandi juga sukar dicam. Sekejap dia menjadi amat baik, sekejap lagi dia bertukar garang. Dia juga mendakwa sering bertukar- tukar jasad, seperti dalam filem The Highlander. Dia sering mengatakan dirinya sebagai hero filem tersebut.

Dia juga sering memarahi isterinya secara melampau, sehinggakan saya lihat isteri Khalil amat takut
dengannya.-sinar

Keterangan Muhdalina diambil untuk siasatan seterusnya

Polis sudah mengambil keterangan Muhdalina Ahmad, 28, wanita yang terlibat dalam kes amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, Isnin lalu, kini masih menjalani rawatan di Hospital Putrajaya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, Muhdalina sudah boleh bercakap dan keterangan sudah diambil untuk siasatan seterusnya.

“Kita akan mengenal pasti penglibatannya dan punca dia terpengaruh untuk melakukan tindakan itu,” katanya kepada media selepas majlis taklimat khas pemantapan aktiviti memerangi jenayah di dewan perdana, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Cheras, di sini, semalam.

Beliau turut mengesahkan penahanan seorang lelaki yang dikatakan kawan baik kepada Khalil Afandi.

Ismail berkata, pemantauan ke atas blog dan laman sosial yang mempunyai unsur ajaran sesat akan diteruskan dan masyarakat perlulah bertanggungjawab bersama mengenai isu ini.

Pengakuan suami Muhdalina Ahmad, Mohd Irwan Mohd Foad akui terlibat kejadian Amuk

Suami Muhdalina Ahmad mengakui menghantar isterinya dan Khalil Afandi Abd Hamid ke Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya sebelum kejadian amuk, Isnin lalu.

Mohd Irwan Mohd Foad, 28, yang sebelum itu bersama isterinya tinggal di rumah Khalil Afandi di Sri Kembangan selama empat hari turut mendedahkan diri sebenar lelaki yang mati selepas ditembak polis.

Mohd Irwan juga menceritakan kejadian sebenar sebelum berlakunya kejadian yang menggemparkan negara.-sinar

Pengakuan suami Muhdalina Ahmad, Mohd Irwan Mohd Foad tentang kejadian Amuk bahagian I
Pengakuan suami Muhdalina Ahmad, Mohd Irwan Mohd Foad tentang kejadian Amuk bahagian II

Jumaat, 13 Julai 2012

Muhdalina Percaya Kiamat Dah Dekat, Selalu Berpakaian Hitam

Tiga hari sebelum dia mengamuk di Putrajaya, Muhdalina Ahmad, 28, didakwa memberitahu seorang kenalannya bahawa kiamat akan berlaku dan imam Mahadi akan muncul dalam masa terdekat.

Menurut kenalan wanita itu, mereka bertemu kali terakhir pada 6 Julai ketika Muhdalina datang ke rumahnya di sini memberitahu dia akan berpindah ke Balakong.

“Berulang kali Ina cakap hal itu (kiamat) kepada saya dan minta saya percaya. Riak wajahnya ketika itu juga sangat serius,” katanya yang meminta namanya tidak disiarkan.

Menurutnya, Muhdalina juga memberitahu dia dan keluarganya mahu berpindah ke Balakong kerana ada perkara penting yang perlu diselesaikan di sana.

“Dia juga menyatakan pertemuan kami malam itu adalah yang terakhir dan minta saya maafkan segala salah silapnya serta menghalalkan makan minumnya,” katanya.

Sumber itu berkata, dia ada bertanya kepada Muhdalina apa yang dia mahu lakukan setelah berpindah ke Balakong kerana wanita itu baru sahaja berhenti kerja sebagai penolong pengurus sebuah syarikat di sini.

“Jawapan dia mudah saja, tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan kerana tempat tinggal barunya itu percuma. Saya sendiri sebenarnya bimbang nasib dua anaknya yang berumur dua tahun dan setahun lebih itu kerana melihat tindak-tanduknya yang begitu tergesa-gesa,” katanya.

Menurutnya, sebelum itu, Muhdalina tidak pernah menunjukkan sebarang perlakuan aneh seperti itu.

“Setelah dapat tahu penglibatan Ina dalam kejadian amuk di Putrajaya, Isnin lalu, barulah saya faham ‘perkara penting’ yang dia sebut dalam pertemuan kami Jumaat lalu,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, Muhdalina sebelum itu juga selalu berpakaian hitam. (Sinar Harian)

Khamis, 12 Julai 2012

Adakah Aliosman Idris Admin Blog Jaya Negara?

Siasatan telah mendapati Khalil Afandi dan pasangannya telah dihantar oleh sebuah kereta untuk ke Kompleks B, Bangunan JPM. Siapa yang identiti yang menghantar tersebut?

Sila baca tulisan di atas yang dipetik dari blog pembangkang iaitu Milo Suam. Video berdurasi 4.02 minit yang menggambarkan kejadian amukan tersebut dimuat naik pertama kalinya oleh saluran yang menggunakan pakai nama blog Milo Suam.

Apa maksud tulisan Milo Suam di atas "salah seorang sahabat yang berada di lokasi kejadian"? Artikel ditulis pada 9 Julai 2012 (baca sini) dan video dimuat naik pada 9 Julai 2012 oleh blogmilosuam.

Siapakah sahabat Milo Suam yang berada di lokasi kejadian? Sahabat atau Milo Suam sendiri yang berada di situ?

Sebab itu ada komen yang menulis mendakwa Milo Suam ada kaitan dengan amukan yang berlaku di Putrajaya (baca sini). Benarkah begitu?



Siapa pula lelaki beridentiti Aliosman Idris di bawah ini? Apakah sama identitinya dengan Hambali Idris?


Pada 11 Julai 2012, dikesan blog Jaya Negara telah ditutup oleh admin. Siapa sebenarnya admin blog Jaya Negara? Maksudnya dalam kes amukan ini, ianya melibatkan lebih daripada dua orang.



Sumber: ANGIN PERUBAHAN

Polis siasat blog, akaun Facebook milik suspek amuk

Polis sedang menyiasat blog dan akaun Facebook milik suspek, Khalil Afandi Abd Hamid, yang mati selepas terkena tembakan dalam kejadian serangan di perkarangan Pejabat Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, ia bagi menentukan sama ada wujud pengikut atau rangkaian kumpulan yang berkemungkinan dianggotai suspek. "Kita serius dengan kejadian ini. Kita akan siasat adakah suspek mempunyai ketua yang memberikan arahan," katanya di sini, hari ini.

Polis kenal pasti individu hantar 'Imam Mahadi' ke JPM

Polis sudah mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menghantar seorang lelaki dan seorang wanita ke pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, kelmarin sebelum mereka mengamuk.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid, berkata individu tersebut dikesan melalui siasatan polis sejurus selepas kejadian itu. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu terbabit kerana dikhuatiri akan menjejaskan siasatan.
"Kita sekarang sedang mencari pemilik kenderaan yang menghantar pasangan itu. Kita juga turut menyiasat latar belakang lelaki dan wanita yang mengamuk itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada hari berkenaan, Khalil Afandi Hamid, 47, yang mengaku dirinya "Imam Mahadi" dan pasangannya yang bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging mengamuk di pekarangan Kompleks B, JPM di Putrajaya.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita berkenaan, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama. - BERNAMA

Polis masih siasat latar belakang pasangan amuk

Polis masih menyiasat latar belakang pasangan yang mengamuk di kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, kelmarin bagi mengenal pasti kumpulan ajaran sesat yang mereka sertai, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

"Kita akan siasat latar belakang kedua-dua mereka, tujuan dan motif mereka termasuk blog dan facebook milik mereka, sama ada terdapat pengikut atau nama ketua ajaran sesat atau kumpulan militan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Balai League Table (BLT) Siri 1,2012 di sini, hari ini. Ismail berkata pihaknya percaya kedua-dua mereka 'kurang sihat' dan apa yang mereka lalukan itu bukan sesuatu yang dirancang.

"Berdasarkan prosedur keselamatan serta menangani insiden amuk itu, pihak polis telah bertindak dengan pantas dan wajar," katanya.

Pada hari berkenaan, Khalil Afandi Hamid, 47, yang mengaku dirinya Imam Mahadi dan pasangannya yang bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging mengamuk di perkarangan Kompleks B, JPM di Putrajaya.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita berkenaan, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama.
Ditanya mengenai kenyataan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa Malaysia akan mengikuti Singapura dalam menghapuskan hukuman gantung mandatori terhadap keldai dadah, Ismail berkata: "Kita bersedia untuk bekerjasama".

Ismail turut menafikan kadar jenayah meningkat serta ia tidak mempunyai kaitan dengan penghapusan Ordinan Darurat 1969 yang menahan penjenayah tanpa bicara.

"Ini adalah cabaran baru kepada polis dan kita bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran," katanya. - BERNAMA

Rabu, 11 Julai 2012

Suspek amuk mungkin ada pengikut

Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Mohamad Hussain Habil
Seorang pakar psikiatri tidak menolak kemungkinan lelaki yang ditembak mati ketika mengamuk di Putrajaya kelmarin mempunyai pengikut yang lain selain wanita yang bersama dengannya dalam serangan itu.

Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Mohamad Hussain Habil berkata, berdasarkan laporan media, lelaki itu, Khalil Afandi Abdul Hamid, 47, baru sahaja mengenali wanita berkenaan, Muhdalina Ahmad, 28, menerusi Internet.

"Tapi kita dapat melihat bagaimana Muhdalina boleh mengikutinya terlibat dengan kejadian itu. Ini menunjukkan Khalil mampu mempengaruhi orang lain. Kerana itu, tidak mustahil dia mempunyai pengikut yang lain juga, bukan Muhdalina seorang saja," katanya.

Menurut Mohd Hussain, entri Khalil dalam blog jayanegara1234.blogspot.com dipercayai ada kaitan dengan tindakannya kelmarin.

Ditanya sama ada perlakuan lelaki itu wajar untuk dikaitkan dengan masalah mental, beliau berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada rekod.

"Kita perlu tengok rekod sama ada dia pernah dikaitkan dengan masalah mental ataupun tidak. Jika tidak, ada kemungkinan mereka boleh dikaitkan dengan ajaran songsang, terutama apabila timbul dakwaan lelaki itu turut mengaku kononnya dia Imam Mahadi," katanya.

Menurut Mohd Hussain, meskipun kejadian amuk secara umum boleh dilibatkan dengan masalah mental namun apabila ia seolah-olah dirancang termasuk gambaran yang diperlihatkan menerusi blog dan juga tindakan membawa pedang samurai ke tempat kejadian, punca tindakan itu masih perlu diperhalusi.

"Ini kerana pesakit mental biasanya tidak merancang tindakan mereka, dan jika ia melibatkan serangan atau tindakan yang agresif, sasaran mereka adalah orang yang dekat terutama ahli keluarga," katanya.

Menurutnya, individu yang mempunyai pemikiran taksub terhadap sesuatu perkara juga boleh bertindak nekad dan ganas.

"Apa yang saya boleh katakan, perlakuan ganas dan agresif seumpama itu boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor, antaranya pengaruh agama yang ekstrem (songsang), pengaruh politik atau latar belakang sosiobudaya,” katanya.

Ditanya bagaimana Muhdalina, seorang yang terpelajar serta mempunyai keluarga boleh dipengaruhi oleh Khalil untuk bertindak ganas, Presiden Persatuan Psikiatri Negara-negara Asean itu berkata, latar belakang pendidikan bukan bermakna seseorang itu boleh
menguasai segenap aspek kehidupan dengan sempurna.

"Dalam keadaan dunia komunikasi tanpa sempadan sekarang, pengaruh sesuatu budaya atau kehidupan itu lebih berisiko," katanya.

Ajaran sesat punca Khalil Afandi 'Iman Mahadi' amuk

Lelaki yang mengaku sebagai Imam Mahadi bersama seorang wanita yang menceroboh dan mengamuk di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya petang semalam, disyaki mengalami masalah mental setelah mengikuti satu kumpulan ajaran sesat.

Khalil Afandi Abdul Hamid, 47, dan Muhdalina Ahmad, 28, turut dipercayai tidak mempunyai sebarang temu janji untuk menemui mana-mana individu ketika menceroboh masuk ke premis tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kedua-dua suspek kemudian meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan yang dikatakan tidak mengamalkan pemerintahan Islam.

Katanya, tindakan Khalil Afandi yang melibas-libas pedang samurai sepanjang 0.6 meter dan perkataan yang diluahkan kedua-duanya semasa insiden mencemaskan itu jelas menunjukkan mereka mengalami masalah mental.

"Polis percaya kejadian amuk itu ada kaitan dengan pengaruh ajaran sesat yang diikuti mereka. Jika lihat pada apa yang diucapkan (semasa kejadian), mereka terlibat dalam ajaran sesat, tetapi kumpulan mana (mereka sertai) kita akan siasat.

"Kedua-dua suspek itu yang telah berkahwin dengan pasangan masing-masing, datang nak meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan," katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada perhimpunan itu, seramai 11 anggota polis yang cedera ketika bertugas pada perhimpunan haram Bersih 3.0 menerima bantuan wang tunai sebanyak RM500 setiap seorang bagi meringankan beban termasuk kos perubatan.

Menurut Mohmad, semasa insiden itu, polis menemui dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging bertulisan jawi di lokasi kejadian.


"Semua senjata itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan selanjutnya," katanya.

Dalam kejadian itu, Khalil Afandi yang mengaku sebagai Imam Mahadi terbunuh manakala graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhdalina cedera selepas terkena tiga das tembakan yang dilepaskan oleh polis.

Dua suspek itu yang bersenjatakan sebilah pedang samurai, keris dan pisau dikatakan bertindak di luar batasan dengan mengacu senjata ke leher seorang polis bantuan sebelum menceroboh kawasan bangunan tersebut dan memecahkan dua buah kereta milik kakitangan JPM.

Ekoran tindakan agresif itu, polis terpaksa melepaskan tembakan pada tangan kanan dan bawah perut Khalil Afandi yang juga pengendali blog jayanegara1234@blogspot.com.my.

Lelaki itu meninggal dunia setengah jam kemudian di Hospital Putrajaya manakala Muhdalina yang cedera di paha kanan dirawat di hospital sama dan direman semalam bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Mohmad berkata, pasangan yang dipercayai baru berkenalan sejak seminggu lalu menerusi laman blog itu dikatakan datang ke kompleks tersebut dengan menaiki sebuah kenderaan.

Mohmad memberitahu, pihaknya menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan kenderaan itu dan penglibatan individu lain dalam kes tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh.

Selain itu, ujarnya, kes tersebut turut disiasat di bawah tiga akta lain iaitu Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 kanun yang sama dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan.

"Hasil pemeriksaan, kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau," katanya.

Beliau menambah, tahap kawalan keselamatan di bangunan tersebut setakat ini adalah memadai bagaimanapun penugasan rondaan oleh polis berpakaian uniform dan preman akan dipertingkatkan.

"Kita memberi maklumat berdasarkan kejadian sebenar, tiada tokok tambah dan siasatan dijalankan secara telus," katanya.

Sehubungan itu, Mohmad menasihatkan orang ramai supaya tidak mempolitikkan kes tersebut kerana dikhuatiri boleh mengundang keadaan tidak tenteram kepada negara.-utusan