JOM TERJAH:

Sertai online survey dan anda dibayar setiap survey
klik link dibawah untuk menyertai
ipanelonline survey

Daftar SAYS Malaysia di sini

InstaForex

Cari Blog Ini

Khamis, 26 September 2013

Surat Siti Hajar Aladin Kepada PM DS Najib Razak

Assalamualaikum Dato’ seri.. Tujuan saya (Siti Hajar) menulis surat ini adalah sebagai seorang anak Malaysia yang ingin negaranya membangun dan mengurangkan kemiskinan di negara sendiri . Beberapa isu ingin saya ketengahkan kepada Dato’ Seri dan saya berharap apa yang saya perkatakan ini memberi idea dan impak kepada semua rakyat Malaysia.
Saya menulis surat ini adalah…sifat keberanian dalam diri saya dimana saya ingin menjadikan Malaysia ini sebuah Negara Membangun Pesat bukan Negara Yang Sedang Membangun.
Sejak akhir-akhirini isu minyak diperkatakan. Ada yang mengatakan negara-negara jiran kita lebih mahal minyak jika dibandingkan di Malaysia. Ya. Saya setuju tentang kenyataan itu tetapi idea untuk menaikkan harga minyak adalah sesuatu yang memang terang lagi bersuluh bukan idea yang bijak. Jika hari ini kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen, ia bukan sekadar memberi impak kepada golongan muda sahaja tetapi juga golongan miskin dan juga seluruh rakyat Malaysia. Hari pertama harga minyak naik, food court ditempat kerja saya menaikkan harta roti sebanyak 30 sen. Lihat! Impak terhadap kenaikan minyak. Tetapi jika satu hari nanti harga minyak turun walaupun sebanyak 50 sen sekalipun, harga roti yang naik 30 sen ketika harga minyak naik akan kekal sama dan tiada pengurangan. Mungkin ianya kecil pada mata orang-orang yang kaya nilai 20 sen itu tetapi ia cukup berharga kepada kami yang baru sahaja memulakan kehidupan.
Perjalanan hidup saya masih jauh. Umur baru 27 tahun. Belum berkahwin. Tetapi saya dah rasakan bebanan yang saya akan hadapi untuk 10 tahun akan datang. Bagaimana pula sahabat-sahabat saya yang sebaya dengan saya, yang telah berumahtangga? Pasti mereka lebih terbeban akibat krisis kenaikan harga minyak. Boleh dikatakan golongan muda belia ini sangat diperlukan bagi menjamin kesejahteraan Negara pada masa akan datang, tetapi saya tidak nampak bagaimana kami mampu memajukan Negara sedangkan saya sendiri rasa ianya satu penindasan ke atas kami. Apa yang dikatakan penindasan?
Mengenai BR1M. Pada mereka yang diberikan BR1M, pasti mereka akan gembira. Kenaikan BR1M telah memberi impak positif yang besar kepada kerajaan kerana kerajaan telah melaksanakan sebahagian tanggungjawab untuk membantu rakyat, tetapi pada masa yang sama kenaikan harga memberi impak negatif yang lebih besar kepada seluruh rakyat Malaysia baik yang menerima BR1M atau tidak. Mengapa tidak bajet BR1M itu digunakan bagi memberi subsidi minyak?
Kerajaan mengatakan bahawa pemberian BR1M kepada rakyat bagi mengurangkan bebanan terhadap mereka yang berpendapatan rendah. Tetapi saya tidak nampak semua itu. Seperti saya katakan tadi, apabila harga minyak melambung, maka harga barang juga turut melambung. Jadi pemberian itu tidak memberi makna apa-apa terhadap rakyat. Ia umpama buruk siku. Lepas bagi, ambil balik.

Surat Siti Hajar Aladin : BR1M @ Subsidi Minyak?

Dato Seri Najib Razak,
Kadang-kadang saya terfikir, apakah keistimewaan saya sebagai rakyat Malaysia? Adakah hanya sekadar penyumbang ekonomi negara tanpa mendapat sebarang kebaikan daripada negara sendiri? Gaji saya di dalam golongan middle income (RM3,000 – RM5,000). Saya tidak layak menerima BR1M malah saya juga di dalam kategori pembayar tax kepada kerajaan. Golongan middle income pada hari ini masih sukar untuk membeli rumah kerana kos sara hidup yang tinggi. Apakah keistimewaan kami yang mana suatu hari nanti bakal menerajui negara sendiri?
Seterusnya pula, Boleh dikatakan golongan lepasan Ijazah yang belum berkahwin, gaji permulaan bermula RM2200. Maka mereka tidak layak untuk menerima BR1M. Syarat untuk menerima BR1M bagi individu adalah bawah RM2000. Manakala bagi mereka yang telah berkahwin dibawah RM3000. Walaupun gaji mereka Bawah RM3000 dan layak untuk menerima BR1M, ia masih tidak mencukupi kerana mereka ada tanggungan yang perlu ditanggung bukan setakat anak isteri tetapi juga pinjaman pembiayaan pelajaran. Untuk memulakan hidup, saya pasti Dato’ Seri pun tahu bagaimana gigihnya seseorang untuk menanggung keluarga.
Beban atas kenaikan minyak amat dirasai pada golongan kami.
  • Gaji kasar : RM2300 (fresh graduate)
  • Gaji bersih : RM2032 (masih tidak layak menerima BR1M)
  • Kereta : RM 400 (Kawasan yang sukar mendapatkan public transport seperti di kawasan Damansara, maka kami memerlukan kereta)
  • Tol: RM1.60 x 2 kali sehari : RM 3.20 x 23 hari = RM73.60 (melalui LDP, masih tidak menerima 20% rebate touch n go)
  • Parking : 23 hari x RM5 = RM115
  • Minyak : RM 12 x 23 hari = RM230 (dari Taman Melati ke Damansara dan untuk ke kerja sahaja)
  • Sewa : RM 200 (paling murah di Kuala Lumpur untuk satu bilik)
  • PTPTN : RM150 (minimum)
  • Makan untuk sebulan = RM 450 (sehari RM15)
  • Ibu Ayah = RM200
  • Baki : RM2032 – RM400 – RM73.60 – RM115 – RM230 – RM200 – RM150 – RM450 – RM200
  • TOTAL BAKI : RM213.40

Surat Siti Hajar Aladin : Lonjakan Harga Rumah di Malaysia

Ini apa yang pernah saya lalui. Tak dinafikan ada juga beberapa bulan saya tidak dapat membayar PTPTN apabila dalam keadaan yang terdesak seperti memperbaharui roadtax dan insurans kereta dan apabila hari Raya menjelma. Dua keadaan yang perlu dilalui yang memerlukan duit tambahan.
Apabila kita melihat baki bulanan yang sebanyak RM213.40, maka pembelian rumah untuk kami memang jauh sekali. Cuba Dato’ Seri lihat harga rumah pada hari ini. Di Taman Melati, Setapak harga rumah bagi 660 sqf adalah RM150,000 dan interest rate sebanyak 4% untuk 30 tahun,maka setiap bulan perlu membayar RM717. Bagaimana golongan belia pada hari ini mahu memangkin ekonomi masa hadapan? Sedangkan perlaburan terbaik datangnya daripada Pelaburan Hartanah.
Saya telah kira RM213 hanya mampu membeli rumah berharga RM40,000 dengan interest rate sebanyak 4% untuk 30 tahun. Bagaimana kami mampu membantu menjana ekonomi Negara sedangkan gaji kami hanya mampu membayar rumah RM40,000 sahaja? Dan dimanakah rumah yang berharga RM40,000 ini? Di kawasan pedalaman yang memang tidak boleh untuk membuat pelaburan. Kita perlu melihat ke hadapan. 10 tahun akan datang, kami golongan belia bakal menerajui Malaysia. Tetapi ianya tak akan berjaya jika pihak atasan tidak memandang idea dan mendengar suara kami.

Surat Siti Hajar Aladin : Gaji Rakyat Malaysia?

Seterusnya lagi, berkaitan tentang gaji lepasan Ijazah dan diploma. Boleh dikatakan kebanyakan syarikat swasta tidak mahu membayar gaji mengikut qualification yang kami ada. Mereka menganggap kami lepasan ijazah sama seperti lepasan SPM. Gaji yang ditawarkan tidak sepadan dengan gaji yang sepatutnya. Alhamdulillah, saya bekerja di sektor GLC dan gaji yang saya perolehi dianggap memuaskan. Tetapi bagaimana rakan-rakan saya dan belia lain pula? Nasib mereka tidak seperti saya. Saya mencadangkan Dato’ Seri melihat bagaimana pekerja di US. Mungkin US telah maju sekarang ni. Kita buat perbandingan di negara Australia menerima gaji bulanan bagi lepasan ijazah. Sangat berbeza jika dibandingkan di negara kita.
Seterusnya, mengenai status penjawat awam mahupun swasta. Ini masalah yang besar kami hadapi. Kebanyakan syarikat-syarikat baik GLC mahupun Semi- Government mahupun swasta, mereka akan menetapkan setahun kontrak dan selepas itu diserap menjadi penjawat tetap dan ada juga sesetengah syarikat langsung tidak menjadikan penjawat tetap malah akan kekal sebagai penjawat kontrak. Apa masalah yang ingin saya ketengahkan ini adalah berkaitan dengan pinjaman perumahan yang amat sukar. Walaupun sebelum ini telah lama bekerja tetap dan selepas itu mendapat tawaran lebih baik tetapi ianya kontrak, apabila membuat pinjaman perumahan, ia akan ditolak atas alasan pekerja kontrak. Maka harga rumah semakin hari semakin meningkat. Jika ingin menunggu setahun kemudian setelah disahkan penjawat tetap, harga rumah itu juga telah melambung tinggi dan kami tidak dapat membelinya. Ini masalah yang saya hadapi sekarang ini.
Saya sebagai seorang rakyat Malaysia dan juga sebagai seorang yang berpegang kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional, saya merayu agar Dato’ Seri Najib Razak dapat memikirkan masalah yang kami hadapi sekarang ini. Sebagai pemimpin disegani di seluruh dunia, saya pasti Dato’ Seri mampu mengubah dan memperbetulkan apa yang dirasakan membebankan kami.
Terima kasih
Ikhlas,
Siti Hajar binti Aladin

Selasa, 10 September 2013

Guru kehilangan isteri dan 3 anak dalam kemalangan ngeri


Tragis apabila seorang guru mata pelajaran agama Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi dan tiga anaknya maut selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 7 Jalan Kajang-Banting di sini, hari ini.

Kejadian turut menyebabkan seorang anak lelaki guru itu yang berusia tiga tahun kritikal dan masih mendapat rawatan di wad kecemasan.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan menghantar dua anaknya ke rumah pengasuh sebelum ke sekolah untuk mengajar murid sesi petang.


Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, kenderaan dipandu mangsa dari arah Bangi ke Kajang dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah lori.

Rempuhan kuat turut menyebabkan pemandu lori mengalami kecederaan dan terpaksa mendapat rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, mereka yang terkorban adalah Rohaya Md Rabi, 35; Nor Nabila Al Huda Mohd Taufid, 9; Nor Nabila Ah Hanan, 7, dan Mohd Nabil Lutfi Al Hadif, 1.

Anak mangsa yang kritikal dikenali sebagai Mohd Nabil Lutfan Al Husni, 3.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Kancil dipandu mangsa bertembung dengan lori menyebabkan mangsa yang memandu tersepit.


“Akibat pelanggaran itu, sebuah van turut merempuh bahagian belakang lori dipercayai akibat tidak sempat menekan brek,”katanya.

Empat mangsa yang maut dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat manakala dua mangsa yang cedera masih menerima rawatan di Hospital Kajang.-sinar

Jumaat, 6 September 2013

UPSR, SPM 2016: Tiada lagi soalan ramalan

Sebanyak 40 peratus soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 50 peratus soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berbentuk pemikiran aras tinggi menjelang 2016.

Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan itu bermaksud guru tidak lagi perlu meramal soalan dan topik yang akan diuji dan melaksanakan latih tubi bagi mengingati kandungan pelajaran.

"Sebaliknya murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi pengetahuan dalam situasi berbeza," demikian menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Pelan itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi, kurikulum peperiksaan dan pentaksiran untuk mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga akan dikaji semula.

Untuk itu, murid akan mendapat tambahan masa pengajaran dan penekanan terhadap aplikasi pengetahuan yang praktikal melalui amali makmal dan pembelajaran berasaskan projek, khusus bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Dalam usaha memastikan setiap murid menguasai kemahiran bahasa Inggeris, Kementerian Pendidikan menetapkan bahasa Inggeris sebagai kertas wajib lulus di peringkat SPM bermula 2016.

Bagi membantu murid memenuhi keperluan itu, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Sistem Set iaitu membahagikan guru kepada kumpulan atau set tertentu bagi membolehkan mereka merangka pendekatan pedagogi yang sesuai dengan tahap kemahiran dan keperluan pembelajaran murid.

Bagi meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris, semua 61,000 guru bahasa Inggeris juga diwajibkan mengikuti Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dalam tempoh dua tahun.

Berhubung usaha melahirkan rakyat yang menghayati nilai sejagat, pelan itu menggariskan bahawa Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral perlu diperkukuh dengan tumpuan diberikan kepada perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara murid.

Dengan itu, setiap murid sekolah rendah dan menengah perlu melibatkan diri dalam khidmat komuniti di mana elemen komuniti akan dijadikan prasyarat untuk kelulusan bagi sekolah menengah.

Selain itu, keperluan penyertaan murid dalam 1Sukan, 1Kelab dan 1Badan Beruniform juga akan diperkukuh, dan bagi meningkatkan kualiti aktiviti yang ditawarkan di sekolah, guru penasihat aktiviti akan diberi latihan bersasaran oleh kementerian.

"Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan mewajibkan penglibatan ini sebagai syarat tamat pengajian dan pemberian biasiswa di peringkat pengajian tinggi," menurut pelan itu. - Bernama

Mungkin perang dunia ke-3?

Rejim Bashar (kiri) nekad melakukan serang balas selepas diancam Obama (kanan) jika berlaku perang di Syria.
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Panel Senat bersepakat memberi kuasa penuh kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama menggunakan kekerasan terhadap Syria.

Media tempatan melaporkan, keputusan itu diperoleh selepas 18 ahli Jawatankuasa Hubungan Luar Senat mengundi dengan 10 - 7 manakala seorang senator hanya memilih sebagai hadir.

Resolusi membenarkan pentadbiran Obama melancarkan serangan tentera ke atas Syria akan memasuki fasa akhir sebelum kedua-dua dewan Kongres melakukan undian akhir minggu depan.

Menurut resolusi itu, tindakan ketenteraan melibatkan misi tentera darat mesti tidak melebihi 90 hari.

Kali terakhir Kongres melakukan undian adalah semasa pemerintahan bekas Presiden George W Bush ketika keputusan menyerang Iraq pada Oktober 2002.

Sementara itu, kerajaan Syria melaporkan, sekiranya peperangan ini tercetus maka ia disifatkan sebagai Perang Dunia ke tiga.

Timbalan Menteri Luar Faisal Muqdad menegaskan, Syria mengambil langkah agresif untuk melakukan serang balas.

“Tentera kami tidak takut dan tidak akan mengalah, walaupun perang dunia ketiga meletus,” katanya dalam laporan Al Jazeera.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Luar Rusia melaporkan, senjata kimia digunakan dalam serangan di pinggir Damsyik bulan lalu adalah dari jenis buatan sendiri.

Menurutnya, senjata itu bukan milik tentera rejim Bashar Al-Assad seperti didakwa.

“Selepas pakar melakukan siasatan, kami dapati senjata itu dari komponen buatan sendiri,” menurut satu kenyataan.-sinar

AirAsia tawar 6 juta tiket tambang terendah

AIRASIA Group akan menawarkan enam juta tiket dengan tambang harga terendah di Pameran MATTA 2013 bermula 6-8 September.

AirAsia dalam satu kenyataan berkata tiket daripada AirAsia dan AirAsia X ialah bagi penerbangan domestik dan juga antarabangsa dalam rangkaian AirAsia.

"Tambang domestik terangkum bermula daripada RM34 manakala tambang antarabangsa eksklusif terangkum adalah seperti berikut: Thailand atau Indonesia daripada RM68, Singapura daripada RM49, India daripada RM173, China daripada RM135, Myanmar daripada RM158 dan Indo-China (Vietnam, Laos dan Kemboja) daripada RM134," kata syarikat penerbangan itu.

AirAsia berkata tempoh tempahan bagi tawaran istimewa itu ialah dari 6-8 September, 2013, bagi tempoh perjalanan dari 1 Oktober, 2013 hingga 5 Ogos, 2014.

AirAsia X berkata ia juga akan menawarkan diskaun 20 peratus bagi tambang destinasi jarak jauh ke Korea Selatan, China, Australia, Taiwan, Jepun dan Nepal. - Bernama

BN mahu jadi kerajaan bertanggungjawab

Kerajaan Barisan Nasional (BN) mahu menjadi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan bukan hanya kerajaan yang popular semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah kerajaan menaikkan harga minyak baru-baru ini bukan bermaksud membebankan rakyat tetapi perlu dilakukan bagi menyelamatkan ekonomi negara setelah mendapat nasihat pakar ekonomi.

"Walaupun tindakan itu agak mengejutkan tetapi ia adalah satu tindakan yang wajar, pemerhati dan penganalisis ekonomi di peringkat dunia mengatakan ia merupakan satu tindakan yang perlu dilakukan untuk pastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara maju dan membangun.

"Jika tidak dibuat langkah menurunkan sedikit subsidi itu, maka negara akan berhadapan dengan keadaan ekonomi yang meruncing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Program Semarak Kasih di Kampung Maju Jaya, Kempas di sini hari ini yang turut dihadiri isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, Datuk Maulizan Bujang serta barisan pimpinan kerajaan negeri dan lebih 3,000 penduduk dari kawasan sekitar.

Muhyiddin berkata beliau menyedari langkah kerajaan menaikkan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter itu tidak disenangi rakyat, malah turut menerima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada penyokong BN yang melahirkan kekecewaan terhadap langkah itu .

Namun, katanya, tidakan itu tidak dapat dielakkan berikutan keadaan ekonomi dan harga pasaran minyak yang tidak menentu, ekoran pergolakan di Asia Barat yang turut menjejaskan jumlah eksport Malaysia ke luar negara.

"Sebagai sebuah kerajaan yang telah dipilih mesti bersikap bertanggungjawab, ia tidak boleh kata Perdana Menteri (tolak kenaikan harga minyak) sebab kata nak popular, Timbalan Perdana Menteri pun tolak sebab kata nak popular.. kalau bagi percuma lagi popular.

"Jadi soal pokoknya bukan soal popular tetapi kami nak buat kerja yang betul, sebagai sebuah kerajaan mesti bertanggungjawab kami dinasihati oleh banyak pakar ekonomi sebelum mengambil langkah berkenaan," katanya.

Katanya pakar ekonomi dalam mesyuarat Dasar Fiskal Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, turut menyatakan pendapat jika kerajaan tidak mengurangkan sedikit subsidi minyak itu, pertumbuhan ekonomi akan terjejas.

Beliau berkata, ia secara langsung akan turut memberi kesan kepada dasar kerajaan BN selama ini yang telah bertahun-tahun mengamalkan dasar pro rakyat termasuk memperuntukkan RM24 billion setahun bagi tujuan subsidi pelbagai barangan keperluan rakyat.

Menurutnya selama ini subsidi minyak disediakan kerajaan bukan hanya dinikmati golongan kurang berkemampuan malah semua pihak termasuk rakyat asing yang bekerja di negara ini dan keadaan itu berbeza dengan negara lain yang hanya memberikan subsidi minyak kepada golongan miskin.

"Jadi sebab itu kita kurangkan subsidi dan dapat jimatkan RM3.3 bilion setahun dan wang itu dibelanjakan semula oleh kerajaan dalam bentuk Bantuan Rakyat 1Malaysia," katanya.

Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan juga tidak meminggirkan golongan pertengahan dan sedang mengkaji langkah terbaik yang boleh diambil untuk membantu mengurangkan beban yang ditanggung mereka.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri turut menunjukkan kebolehan memasak sambal goreng iaitu satu menu wajib untuk nasi ambeng, makanan tradisi masyarakat Jawa di Johor sebelum bersama-sama rakyat mencuba makanan itu selepas majlis itu .- Bernama

Khamis, 5 September 2013

Gambar: Wanita Yang Jalinkan Hubungan Sulit Dengan Adi Putra?

Sekarang ini pasti ramai antara anda yang tertanya tanya sama ada benar atau tidak Adi Putra terlibat dengan kisah skandal bersama isteri orang ini — sehingga taraf kerakyatan Adi Putra sendiri di’persoal menerusi laporan polis yang kami siarkan.

Adi Putra sudah lebih 7 tahun memohon status penduduk tetap jika masih belum di’luluskan, jika.
Dan pastinya ramai juga ingin mengetahui identiti isteri orang yang terlibat dalam kontroversi ini & terima kasih kepada laporan polis yang kini bertebaran dan usaha mereka di forum Cari, ada spekulasi timbul berkaitan identiti sebenar wanita ini.
Menurut maklumat yang kami terima semalam, nama isteri ahli perniagaan itu adalah Nooraida Binti Abdul Talib dan berusia 30 tahun mengikut nombor kad pengenalan yang di’bekalkan.
Sebuah akaun Twitter dengan nama Aida Anne Fasha (@aidafasha) telah didakwa sebagai akaun milik wanita tersebut dan beberapa status yang di’tulis melalui akaun itu seakan menggambarkan situasi ketika ini. Dan, yang berikut menarik perhatian kami.
#01 Aida Fasha, Wanita Yang Jalinkan Hubungan Sulit Dengan Adi Putra? - ROTIKAYA
#02 Aida Fasha, Wanita Yang Jalinkan Hubungan Sulit Dengan Adi Putra? - ROTIKAYA
Kedua dua status bertarikh 1 September 2013 di’kirimkan ketika ramai wartawan hiburan & isu semasa mula menghidu perkara ini. Kebetulan?
Laporan Berita Harian menyebut yang suami wanita ini merampas telefon bimbit miliknya pada 7 Ogos 2013 (10 hari selepas Adi Putra & wanita ini mula bermesej) dan menyerahkan kepada pihak polis & makmal forensik untuk dianalisa.
Dan, status Aida Fasha pada 8 Ogos 2013.
#03 Aida Fasha, Wanita Yang Jalinkan Hubungan Sulit Dengan Adi Putra? - ROTIKAYA

Selepas semua ini, ianya masih satu spekulasi. Don’t take our word for it.
#09 Aida Fasha, Wanita Yang Jalinkan Hubungan Sulit Dengan Adi Putra? - ROTIKAYA

#08 Aida Fasha, Wanita Yang Jalinkan Hubungan Sulit Dengan Adi Putra? - ROTIKAYA

#07 Aida Fasha, Wanita Yang Jalinkan Hubungan Sulit Dengan Adi Putra? - ROTIKAYA

#06 Aida Fasha, Wanita Yang Jalinkan Hubungan Sulit Dengan Adi Putra? - ROTIKAYA

#05 Aida Fasha, Wanita Yang Jalinkan Hubungan Sulit Dengan Adi Putra? - ROTIKAYA

#04 Aida Fasha, Wanita Yang Jalinkan Hubungan Sulit Dengan Adi Putra? - ROTIKAYA

Sumber: rotikaya.com

PDAM Cadang Mansuh Cukai Jalan, Kurangkan Kadar Insurans Kenderaan Bawah 2000cc

Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) mencadangkan kerajaan memansuhkan cukai jalan dan mengurangkan kadar insurans bagi kenderaan berkapasiti kurang daripada 2000cc.

Presidennya Datuk Hashim Othman berkata kerajaan harus peka terhadap keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana supaya golongan berkenaan dapat mengharungi cabaran semasa ekonomi negara.

"Saya berharap daripada penjimatan yang diperoleh daripada pengurangan subsidi bahan api dapat digunakan untuk memansuhkan cukai jalan kenderaan dan pengurangan kadar insurans," katanya kepada Bernama dalam rancangan Helo Malaysia Bernama TV di sini pada Rabu.

Beliau berkata pakar ekonomi negara pasti sudah lama memikirkan alternatif dalam mengurangkan beban rakyat, dan langkah ini perlu dilaksanakan supaya rakyat tidak rasa terbeban dan teraniaya, yang mungkin akan membawa kepada rasa benci terhadap kerajaan.

Selasa lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata pengurangan subsidi bahan api akan menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM3.3 bilion yang boleh digunakan untuk disalurkan kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan juga projek infrastruktur.

Merujuk kepada cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memperkenalkan semula petrol RON92 di pasaran, Hashim berkata beliau tidak pasti sama ada masih terdapat kenderaan-kenderaan yang menggunakan minyak RON92 tersebut.

"Kereta sekarang ini sudah tidak boleh menggunakan RON92 memandangkan sudah ramai yang menggunakan kereta baharu yang tidak sesuai menggunakan minyak tersebut (RON92)," katanya.

Hashim juga berkata jika RON92 diperkenalkan semula, pengusaha stesen minyak juga terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk menambah tangki minyak dan pam RON92.

"Kesan penggunaan minyak RON92 juga tidak baik untuk alam sekitar," katanya.

Sebelum ini, Menteri KPDNKK Datuk Hasan Malek berkata kerajaan sedang mengkaji kemungkinan memperkenal semula petrol RON92 bagi menawarkan alternatif sumber bahan api yang jauh lebih murah kepada para pengguna.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Nadzim Johan berkata kerajaan juga perlu mengenakan tindakan tegas yang boleh memberi kesan 'gentar' kepada peniaga yang menaikkan harga barang melampau berikutan kenaikan harga minyak.

Katanya ini bagi memastikan apabila harga minyak naik, ia tidak akan menjadi kebiasaan bagi peniaga-peniaga untuk turut menaikkan harga barang.

Beliau juga meminta kerajaan supaya mencari mekanisme dalam memastikan subsidi hanya diberikan kepada rakyat berpendapatan sederaha dan rendah.

Selain itu, Nadzim berkata rakyat perlu membuat perubahan dan mencari kesesuaian dengan merancang kembali perbelanjaan isi rumah mengikut perkara utama yang menjadi keperluan.-BERNAMA

Pemikir: Rasionalisasi subsidi langkah tepat

Di sebalik timbul sedikit tekanan inflasi pada ekonomi negara, kenaikan harga petrol RON95 dan diesel masing-masing sebanyak 20 sen seliter, pada Selasa, sebenarnya merupakan satu langkah berwawasan jauh.

Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan Sosio-Ekonomi dan Penyelidikan (SEDAR) Ivanpal S.Grewal berkata ia adalah langkah paling tepat ke arah menstruktur semula kaedah yang digunakan dalam memberikan subsidi.

"Kaedah pemberian subsidi sekarang ini tidak kena pada tempat, tidak cekap dan membazir. Tujuan sebenar pemberian subsidi ini adalah untuk membantu golongan tidak berkemampuan, dan bukan untuk mereka yang membawa Ferrari turut menikmati bahan api yang disubsidi itu.

"Apa yang penting adalah pengurusan lebih baik subsidi dan perlu lebih fokus dalam membantu mereka yang memerlukan," kata beliau dalam satu temubual dengan Bernama.

Oleh itu, di sebalik menghulurkan subsidi menyeluruh seperti subsidi besar bagi petrol dan gas, kerajaan telah memutuskan untuk beralih secara berperingkat-peringkat kepada pemberian bantuan tunai secara langsung seperti BR1M bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.


Subsidi Tinggi Bagi Warga Malaysia

Kerajaan Malaysia memberi subsidi dan mengawal harga pelbagai barangan keperluan seperti minyak masak, petrol, tepung gandum, roti, beras dan yang lain untuk menjamin kos hidup yang rendah.

Dengan kenaikan terbaharu harga petrol RON95 adalah RM2.10 seliter sementara harga diesel adalah RM2 seliter. Harga petrol RON97 dinaikkan 15 sen kepada RM2.85 seliter mulai hari ini.

Bagaimanapun, dengan peralihan masa jumlah subsidi semakin meningkat dan subsidi menyeluruh yang tinggi tidak dapat ditampung dalam jangka panjang.

Sebagai contoh, pada 2007, kerajaan membelanjakan RM40.1 bilion dalam subsidi untuk mengawal harga. Pada 2009, lebih kurang 22 peratus perbelanjaan kerajaan adalah pada subsidi, dengan subsidi petrol sahaja mewakili 12 peratus daripada jumlah itu.

Dan bagi peruntukan subsidi berjumlah RM30 bilion pada tahun ini, subsidi bahan bakar sahaja berjumlah RM24 billion, komponen terbesar dalam peruntukan berkenaan.

Berikutan pemberian subsidi ini, rakyat Malaysia tidak begitu terkesan walaupun harga minyak dunia naik mendadak. Tidak seperti rakan mereka di Indonesia yang mengalami dugaan besar apabila harga minyak meningkat 33 peratus sekali gus kira-kira tiga bulan yang lepas.

Ahli ekonomi dan institusi ekonomi dunia telah lama mengingatkan Malaysia akan bahaya tanggungan subsidi dalam jumlah besar dan bahawa negara perlu mengkaji semula pendekatannya dalam membantu rakyat.


Perlu Ada Cara Lebih Berkesan Dalam Membantu

Oleh itu, satu daripada alternatif adalah untuk mengguna pakai kaedah bantuan tunai berterusan, mirip kepada kaedah yang dilaksanakan di Singapura, Hong Kong, Macau dan juga Brazil, yang terkenal dengan "Bolsa Samilia", dan Mexico pula dengan keadah "Oppurtunidades".

"Bolsa Samilia" merupakan satu program yang cuba menangani kemiskinan dalam jangka pendek melalui pemberian tunai dan memerangi kemiskinan jangka panjang dengan meningkatkan sumber manusia di kalangan golongan miskin menerusi pemberian tunai bersyarat.

"Oppurtunidades" disasarkan pada pembasmian kemiskinan melalui pemberian tunai kepada keluarga-keluarga kerana menghadiri sekolah, mengunjungi klinik kesihatan serta menerima bantuan zat pemakanan.

"Di Singapura, bantuan tunai seumpamanya dikenali sebagai Skim Bantuan Awam (Public Assistance Scheme) kerana kerajaan republik itu tidak menyediakan subsidi untuk memastikan harga rendah bagi barangan keperluan dan khidmat," kata Ivanpal.

Kira-kira 2.1 juta warga Singapura menerima manfaat daripada skim ini dengan mereka berpendapatan $24,000 (RM60,877) atau kurang setiap tahun dan mereka yang tinggal di rumah-rumah dengan nilai sewa tahunan sebanyak $20,000 (RM50,730) atau kurang menerima tunai $100 (RM253) atau $250 (RM634) setiap bulan.


Akan Ambil Masa

Bantuan tunai lain yang dihulurkan oleh kerajaan Singapura termasuk Medisave 'top-up' yang meliputi 85 peratus daripada warga Singapura berusia 65 tahun dan ke atas serta rebat utiliti bagi lebih kurang 800,000 isirumah Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB).

"Bagaimanapun, kita tidak dapat melakukannya semalaman. Sebagai contoh, pengurangan drastik pada subsidi bahan bakar semasa akan membawa impak besar pada penduduk, dengan kos kehidupan melambung kerana harga barangan dan khidmat meningkat dengan ketara. Ingat apa yang berlaku pada 2007, apabila harga minyak naik mendadak sebanyak 80 sen seliter selepas harga minyak dunia mencatatkan satu rekod baru?

"Oleh sebab itu semasa kita menstruktur semula subsidi bahan bakar itu, jumlah tunai yang diberikan melalui BR1M juga akan dilaraskan dan ditingkatkan secara berperingkat sehingga ia mencapai RM1,200 daripada angka RM500 sekarang ini," tambah beliau. - Bernama

Israel manipulasi kurikulum sekolah

BAITULMAQDIS - PALESTIN. Ketua Direktorat Pendidikan di Baitulmaqdis memberi amaran bahawa Israel cuba memanipulasi kurikulum Palestin.

Samir Jibril mendedahkan, lima sekolah di wilayah itu mula mengajar mata pelajaran berkaitan Zionisme.

"Saya menggesa penduduk Palestin supaya tidak mudah terpengaruh dengan ilusi bahawa sekolah yang menggunakan subjek seperti itu kononnya menawarkan persekitaran pembelajaran lebih selesa dan menjamin masa depan anak mereka," katanya kepada PNN.

Menurutnya, institusi pendidikan seumpama itu memberi kesan besar kepada pelajar dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa kerana mereka mempunyai hak untuk mengekalkan identiti serta adat budaya dalam sistem pendidikan.-sinar

Petroleum murah: Petronas buat penjelasan

PETRONAS hari ini menjelaskan mengenai tanggapan salah sebilangan rakyat bahawa Malaysia dapat mengeluarkan produk petroleum yang lebih murah seperti gasoline dan diesel jika ia mengeluarkan dan menggunakan sendiri minyak mentah.

Bagaimanapun perbadanan minyak negara itu berkata, minyak mentah Tapis blend yang ditemui di perairan Malaysia, merupakan bahan mentah yang sangat mahal.

Oleh itu, dengan mengeksport minyak Tapis blend dan mengimport minyak kurang berkualiti untuk penggunaan dalam negara, Malaysia meraih manfaat lebih besar daripada sumber minyak mentah semula jadinya, dan pada masa yang sama memastikan
jaminan tenaga untuk penggunaan domestik.

Petronas, dalam satu kenyataan malam ini mengulas mengenai rasionalisasi subsidi kerajaan baru-baru ini yang telah menimbulkan kebimbangan dan tanggapan salah sebilangan rakyat.

Mereka berpendapat rakyat sepatutnya menikmati produk petroleum, terutama gasoline dan diesel, pada harga minimum selari dengan status negara sebagai negara pengeluar minyak, katanya.

Ini bertentangan dengan negara seperti Arab Saudi dan negara Timur Tengah yang menghasilkan minyak mentah murah dalam kuantiti yang besar.

Minyak Tapis blend mencatat premium tinggi berbanding minyak biasa pada harga premium US$122.96 setong pada 30 Ogos, 2013, berbanding minyak mentah yang biasa dijual iaitu minyak Brent blend pada US$115.38 pada hari yang sama.

Petronas berkata, harga runcit semasa produk petroleum di pam di Malaysia tidak menggambarkan kos sebenar pengeluaran komoditi itu memandangkan ia tidak menunjukkan perubahan kos minyak mentah.

Ini disebabkan perbezaan dan impak perubahan minyak mentah sudah diserap oleh subsidi besar kerajaan.

Harga minyak mentah kini semakin meningkat berikutan ketidaktentuan politik dan keselamatan di Timur tengah seperti Mesir dan Syria.

“Bagaimanapun, harga runcit gasoline dan diesel di Malaysia tidak berubah kerana di subsidi oleh kerajaan.

“Subsidi besar merupakan perbelanjaan yang tidak berkekalan dalam jangka panjang, selain itu ia menyebabkan penggunaan tenaga tidak berhemat dan tidak cekap," kata Petronas. - Bernama

Kekalkan Najib sebagai PM umpama tambah dosa?

KENAIKAN harga minyak yang diumumkan Najib menimbulkan keributan yang bukan sedikit rupanya.

Tidak saja rakyat biasa yang mengeluh dan meluahkan kemarahan, kalangan ahli dan pemimpin Umno juga mempunyai rasa yang senada.

Mereka turut kecewa dengan kenaikan itu, bukan saja kerana tiada angin atau ribut yang mengatakan harga minyak dunia meningkat tetapi juga kerana kenaikan itu diumumkan begitu pantas iaitu hanya kira-kira lebih sedikit daripada 100 hari selepas kemenangan tipis yang diraih BN dalam pilihan raya umum lalu.

Ditambah pula, dengan kemeriahan sambutan hari raya yang masih terasa dengan perdana menteri dan semua menteri Kabinet dilihat begitu bergembira dengan pesta rumah terbuka berserta jamuan yang hebat di sana-sini dengan menggunakan wang rakyat, tiba-tiba rakyat mahu dibebankan pula dengan kenaikan harga minyak yang tentunya juga akan diiringi dengan pelbagai kenaikan lainnya dalam perkhidmatan dan barangan pengguna.

Oleh kerana tahun ini tahun pemilihan Umno, gah dan meriahnya majlis rumah terbuka menteri lebih jelas dapat dirasakan, terutama mereka yang mahu bertanding jawatan lebih tinggi atau mempertahankan jawatan sedia ada. Sudahlah ada rumah terbuka perdana menteri bersama menteri Kabinet, ada pula rumah terbuka kementerian, kemudian semua agensi pula turut mengadakan rumah terbuka.

Di kawasan Parlimen juga, menteri dan timbalan menteri mengadakan rumah terbuka.

Habisnya, sebulan Syawal ini jadual menteri dan timbalan menteri hanya asyik dengan rumah terbuka saja. Oleh kerana tahun pemilihan juga dan bimbang undi berkurangan, menteri turut mengambil kesempatan hadir ke rumah terbuka kementerian lainnya.

Tentu terlihat tidak sopan, setelah pemimpin berpesta dan menghabiskan duit rakyat manakala rakyat hanya dapat menatapnya melalui tv dan akhbar, tiba-tiba bebannya mahu dilonggokkan ke bahu rakyat.

Bagi sesetengah pihak, ini diskriminasi dan penindasan yang tiada tolok bandingnya. Jika diambil kira dengan pelbagai kemewahan dan perbelanjaan lainnya yang dilakukan pemimpin, termasuk kos lawatan Najib ke luar negara hampir RM50 juta, keghairahan kerajaan menukar jenama baru untuk kereta rasmi menteri dan sebagainya, kerajaan dilihat seolah-olah tidak punya perasaan langsung apabila menaikkan harga minyak ini.

Pada masa sama, kenaikan harga minyak itu juga dilakukan di tengah-tengah kebanggaan yang diumumkan bahawa Petronas pada 2012 mencatat keuntungan sebanyak RM59 bilion manakala keuntungan pada suku kedua 2013 ini pula mencecah angka RM21.9 bilion.

Dengan keuntungan sebesar itu, Najib terlihat begitu kemaruk dengan penjimatan RM1.1 bilion melalui kenaikan harga harga minyak dan memotong subsidi rakyat yang mana sebahagian besarnya penerima nikmat subsidi ini adalah orang kampung dan luar bandar yang selama ini penyokong tegar Umno serta penyumbang utama kepada kemenangan BN dalam pilihan raya lalu.

Apakah RM1.1 bilion itu tidak boleh ditampung melalui sumber lain dan lebih besar nilainya daripada menghimpit kehidupan rakyat ke kancah yang lebih sukar?

Sebaik menang pilihan raya, Najib seperti sudah lupa siapa yang menyokong dan menjadikannya kekal sebagai perdana menteri.

Lalu, dengan pelbagai keluhan dan sungutan mengenai kenaikan harga minyak ini, di manakah slogan "Kami mendengar" dan kerajaan sentiasa bersama denyut nadi rakyat yang sering dilaungkan selama ini?

Sebab itu, tidak hairan kenaikan harga minyak kali ini turut mendapat reaksi yang tidak menyenangkan daripada pemimpin Umno sendiri. Sementara ramai yang berdiam diri kerana tidak bersetuju tetapi tidak mahu meluahkan perasaan secara terang-terangan kerana bimbang periuk nasi terjejas, terdapat juga yang berani berterus-terang.

Seorang pemimpin pemuda, Lokman Nor Adam mahu Najib dan kerajaan memikirkan semula kenaikan harga minyak ini dan mencari kaedah lain untuk menampung kos RM1.1 bilion yang diperlukan untuk meneruskan subsidi minyak yang dikurangkan itu.

Di pelbagai peringkat lainnya, ramai lagi pemimpin dan ahli Umno yang turut kecewa dengan tindakan Najib ini. Mereka meluahkan kekecewaan dengan cara tersendiri. Ada yang meluahkannya melalui perbualan dengan kawan atau ketika sambil berbual-bual di kedai kopi.

Seorang pemimpin Umno yang ditemui jelas kecewa dengan tindakan Najib ini. Beliau kecewa bukan saja kerana tindakan ini dilihat menyusahkan rakyat tetapi juga membuat pemimpin sepertinya menghadapi kesukaran untuk mempertahankan keputusan Najib itu apabila dipersoalkan pengikut serta penyokongnya.

Penyokong dan pengikutnya yang rata-rata berpendapatan rendah dan sederhana jelas begitu terpukul dengan kenaikan minyak ini kerana selama ini pun kehidupannya seharian mereka sekadar cukup makan sebagai kakitangan kerajaan mahupun swasta.

Lebih menggusarkan pemimpin tadi ialah apabila anaknya juga turut marah, kecewa dan tidak setuju dengan kenaikan harga minyak yang diumumkan Najib ini.

Menurutnya, apabila anaknya yang belajar di universiti turut mempertikaikan tindakan Najib berserta dengan fakta, angka dan rasionalnya, beliau menghadapi masalah dan tidak upaya berbuat apa-apa kerana pendapat golongan muda seperti anaknya itu banyak kebenarannya.

Mahu mempertahankan kerajaan serba-salah, tidak mempertahankan kerajaan pun serba-salah juga. Kita sebagai pemimpin Umno pun susah dibuatnya dengan tindakan Najib ini, rungutnya lagi.

Dengan kecenderungan Najib berbelanja mewah dan boros serta kemungkinan akan mengenakan beberapa lagi kenaikan seperti tarif elektrik, pengenalan cukai GST dan sebagainya sebagai langkah mudah menyeimbangkan kedudukan ekonomi negara, beliau juga percaya kehidupan rakyat akan terus sulit dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang.

Sehubungan itu, tambahnya, mengekalkan lagi Najib sebagai perdana menteri hanya seperti menambah dosa saja kerana kehidupan rakyat yang sudah sedia terbeban dipercayai akan terus terbeban selagi beliau kekal di tempatnya sekarang. – shahbudindotcom.blogspot.com, 4 September, 2013.